‘Peluang besar’ EasyJet di Eropah

‘Peluang besar’ EasyJet di Eropah

LUTON, United Kingdom, 14 Feb – Sektor penerbangan Eropah dijangka bergabung selanjutnya, sementara rantau menawarkan ‘peluang besar’ untuk pertumbuhan, menurut Carolyn McCall, ketua eksekutif syarikat penerbangan tambang murah Britain, EasyJet.

“Saya pastinya fikir terdapatnya penggabungan di Eropah,” beritahu McCall kepada AFP dalam satu temu bual baru-baru ini yang diadakan di ibu pejabat EasyJet di lapangan terbang Luton, utara London.

Beliau percaya syarikat itu boleh berkembang berdasarkan pertumbuhannya yang luar biasa sepanjang kepimpinan beliau selama enam tahun.

“Jika anda melihat pada seluruh Eropah, kami masih melihat peluang yang besar untuk pertumbuhan.

“Ia adalah persaingan dengan beberapa syarikat penerbangan tambang murah, tetapi ia masih bersaing dengan syarikat penerbangan warisan,” kata beliau daripada hangar yang dicat dalam warna jingga syarikat penerbangan dan diubah suai untuk menempatkan pusat kawalan dan kumpulan pengurusan tertinggi EasyJet.

McCall bercakap dalam satu temu bual di ibu pejabat penerbangan di lapangan terbang Luton, utara London. – AFP
McCall bercakap dalam satu temu bual di ibu pejabat penerbangan di lapangan terbang Luton, utara London. – AFP

Sejak pelantikan McCall pada 2010, EasyJet telah mencatat pertambahan dalam keuntungan sebelum cukai daripada kira-kira 50 juta pound kepada hampir 700 juta pound dalam tahun kewangan terakhirnya.

“Ia adalah pertumbuhan keuntungan yang besar dan kami perlu melabur semula dalam wang kami. Matlamat kami adalah terus mencatat keuntungan dan menambah hasil pulangan untuk pemegang saham,” kata McCall, yang merupakan salah seorang daripada enam wanita yang mengetuai sebuah syarikat yang diniagakan di indeks saham FTSE 100 London.

McCall melihat peluang untuk pertumbuhan seterusnya terutamanya di Perancis, di mana EasyJet mempunyai 15 peratus saham pasaran dan menduduki tempat kedua di belakang Air France. Namun bos berusia 54 tahun itu tidak melihat syarikat penerbangannya menyertai Norwegian Air Shuttle untuk menjadi operator jarak jauh dan memasuki pasaran AS, meskipun persekitaran harga minyak yang rendah.

“Penerbangan jarak jauh bagi kami tidak ada dalam agenda kami. Kami fikir ia adalah model berlainan, kami fikir ia adalah model berisiko tinggi. Kami menunggu dengan penuh minat bagaimana Norway melakukannya dan sudah tentunya jika mereka menjadikannya satu kejayaan besar maka saya pasti orang lain akan menyusuli namun bukan sekarang untuk kami,” kata McCall. – AFP