Peluang cerah dalam Blasting Painting

Peluang cerah dalam Blasting Painting

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Sept –Lebih ramai anak-anak tempatan akan direkrut dalam bidang Blasting Painting yang menawarkan peluang pekerjaan di pelantar minyak luar pesisir pantai sejajar dengan seruan kerajaan untuk memastikan kerja-kerja dalam bidang minyak dan gas dipelopori warga tempatan.

Pegawai Pembangunan Perniagaan Syarikat Mashhor Offshore Painting Services (MOPS) Sdn Bhd, Dayangku Hajah Suriati binti Pengiran Haji Zainal menekankan perkara itu ketika ditemu bual wartawan Media Permata semasa lawatan pelajar IBTE Kampus Pusat Latihan Mekanik (PLM) ke ibu pejabat MOPS di Jalan Setia Pahlawan, Kuala Belait hari ini.

Menurutnya lagi, pelajar-pelajar PLM yang ketika ini mengikuti kursus Industrial Blaster Painter akan mempunyai peluang yang cerah untuk bekerja di MOPS Sdn Bhd kerana mereka sudah pun mempunyai pengetahuan asas dan praktikal dalam bidang itu.

Gambar ramai rombongan pelajar IBTE PLM yang melawat MOPS Sdn Bhd.
Gambar ramai rombongan pelajar IBTE PLM yang melawat MOPS Sdn Bhd.
Dayangku Hajah Suriati ketika ditemu bual Media Permata.
Dayangku Hajah Suriati ketika ditemu bual Media Permata.

Setakat ini, syarikat itu mempunyai 30 pekerja tempatan manakala yang lain adalah pekerja warga asing dan matlamat mereka adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak tempatan menceburi bidang kerja Blasting Painting ini.

Rombongan terdiri daripada 40 pelajar lelaki dan perempuan PLM itu merupakan kumpulan pertama mengikuti kursus yang baru diperkenalkan iaitu Kursus Industrial Blaster Painter di PLM dan lawatan dihasratkan dapat mendedahkan mereka dengan lebih lanjut lagi mengenai kerja-kerja Blasting Painting, menurut guru pengiring, Awang Muhammad Aqil bin Haji Besar.

Semasa lawatan itu, pelajar-pelajar PLM ini dibawa ke Bengkel MOPS Sdn Bhd di Sungai Duhon untuk diperlihatkan lagi secara dekat demonstrasi kerja-kerja Blasting Painting oleh kakitangan MOPS Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA