Peluang CR7 pecah rekod Raul

Peluang CR7 pecah rekod Raul

MADRID, 22 Sept (AFP) – Cristiano Ronaldo memiliki satu lagi peluang untuk mengatasi rekod Raul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real Madrid dalam aksi di tempat lawan apabila Los Blancos bertandang ke Athletic Bilbao, Khamis ini.

Ronaldo hanya ketinggalan dua lagi jaringan untuk menyamai catatan 323 gol yang dilakar Raul tetapi dia gagal meledak jaringan ketika Madrid menang 1-0 ke atas Granada, kelmarin.

Madrid mengumpul tiga mata dan mereka harus berterima kasih kepada Keylor Navas yang beberapa kali menyelamatkan gawangnya sekali gus melebarkan catatan tanpa bolos kepada lima perlawanan.

Pemain antarabangsa Costa Rica itu kini hanya ketinggalan 10 minit sahaja untuk memecahkan rekod Iker Casillas yang memegang catatan selaku penjaga gawang paling lama tidak bolos gol.

“Semuanya berjalan baik. Saya gembira apabila orang ramai menghargai tugas saya dan saya bangga dapat bersama kelab ini,” katanya.

Ronaldo dalam jarak dua gol lagi untuk menyamai rekod Raul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real Madrid. – AFP
Ronaldo dalam jarak dua gol lagi untuk menyamai rekod Raul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real Madrid. – AFP

“Ketika kecil, saya pernah mengimpikan untuk bermain di sini dan saya gembira dapat menjadi sebahagian sejarah Real Madrid. Kerja keras saya sudah berbaloi dan inilah caranya untuk kami mencapai banyak gelaran.”

Madrid akan sekali lagi bermain tanpa Gareth Bale, James Rodriguez dan Danilo gara-gara kecederaan manakala keadaan Sergio Ramos pula masih belum dapat dipastikan akibat kecederaan bahu.

Athletic sudah membuktikan kemampuan mereka untuk menundukkan kelab besar apabila membenam Barcelona 5-1 pada agregat untuk menjulang Piala Super Sepanyol, awal musim ini dan mereka turut menewaskan Madrid musim lalu.

Begitupun, mereka hanya berjaya mengutip tiga mata sepanjang empat perlawanan liga setakat ini termasuk ditewaskan Villareal 3-1, kelmarin.

“Kami tidak bermula dengan baik. Tiga mata di dalam liga adalah tidak cukup dan inilah liga di mana anda akan diberitahu sama ada persembahan anda baik atau tidak,” kata jurulatih Athletic Ernesto Valverde.