Peluang dalam industri pemakanan halal

Peluang dalam industri pemakanan halal

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Darussalam Enterprise (DARe), malam tadi, mengadakan Dialog DARe kali ke-11 bersama-sama dengan Ghanim International Corporation Sdn Bhd mengenai ‘Peluang dalam Industri Pemakanan Halal’ yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi (D&T), Anggerek Desa.

Dialog berkenaan telah dihadiri lebih kurang 50 orang, dan telah dimulakan dengan pembentangan oleh Pengurus Pemasaran Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dayang Fatin binti Ariffin yang telah menghuraikan objektif organisasi, kejayaan yang dicapai dan proses yang diperlukan untuk mengesahkan pengeluar dan produk halal.

Beliau turut menyenaraikan rakan-rakan perkongsian yang bekerjasama dengan mereka, termasuklah Sabli’s, Super Water Marketing, Hana Soy & World (B) Sdn Bhd, Asda, Tesco dan lain-lain lagi.

Dayang Fatin mengongsikan, selain daripada memastikan bahawa pengeluar dan produk makanan mematuhi garis panduan halal yang ketat, Ghanim International Corporation juga sedang mengkaji aspek kesihatan produk untuk pengguna-pengguna mereka.

Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Awang Adi Shamsul, Awang Muhammad Nor Shafiee, Dr. Nur Ahmad dan juga Awang Soon Loo selaku panel-panel dialog DARe ke-11.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Awang Adi Shamsul, Awang Muhammad Nor Shafiee, Dr. Nur Ahmad dan juga Awang Soon Loo selaku panel-panel dialog DARe ke-11.

Semasa sesi soal jawab, ahli-ahli panel telah diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga selaku Timbalan Pengerusi DARe, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli; Timbalan Setiausaha Tetap (IT dan E-Kerajaan) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Muhammad Nor Shafiee bin Dato Paduka Haji Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation, Dr. Nur Ahmad; serta Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Soon Loo.

Dialog DARe berkenaan berperanan sebagai salah satu cara dalam membantu isu-isu yang dihadapi oleh PKS apabila menjalankan aktiviti berkaitan dengan perniagaan.

Selain itu, pendekatan-pendekatan lain yang diambil antara lainnya termasuklah kumpulan sasaran, Enterprise Open Day, dan juga kaunter bantuan perniagaan (Business Help Desk).

ARTIKEL YANG SAMA