Peluang dalam pengangkutan awam

Peluang dalam pengangkutan awam

Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Anak-anak tempatan diseru membantu membangunkan sistem pengangkutan awam negara kerana Kementerian Perhubungan mengenal pasti terdapat banyak peluang pekerjaan untuk mereka dalam sektor itu.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat dalam temu bual bersama wartawan baru-baru ini. Menurut Yang Berhormat Dato, kementeriannya yang menjadi pengawal atur hal ehwal berkaitan semua pengangkutan sivil dan awam berhasrat untuk memperkenalkan pemandu bas tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperbaiki rangkaian pengangkutan awam negara.

“Kami menyeru rakyat Brunei untuk menyahut cabaran ini,” katanya, menambah, “Kami tahu ia adalah satu percubaan namun sektor pengangkutan awam memerlukan semua sokongan yang perlu termasuklah penyertaan pemandu tempatan.”

Kementerian Perhubungan juga merancang untuk menubuhkan sekolah memandu khusus bagi melatih pemandu bas dan juga pemandu trak warga tempatan. Yang Berhormat Dato menekankan bahawa pada masa ini, hanya terdapat sejumlah kecil pemandu tempatan memandangkan operator bas lebih suka menggaji warga asing berdasarkan tangga gaji yang lebih rendah.

“Tangga gaji ditentukan oleh operator bas. Namun jika perbelanjaan menyediakan penginapan dan beberapa kemudahan lain kepada pemandu asing diambil kira, ia mungkin tidak banyak berbeza (berbanding melantik pemandu tempatan). Malah penambahan sedikit dalam tangga gaji bagi pemandu tempatan mungkin boleh dibuat,” kata Yang Berhormat Dato lagi.

ARTIKEL YANG SAMA