Peluang dalami dunia sains di OGDC

Peluang dalami dunia sains di OGDC

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 12 Okt – Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) mengadakan pameran yang menawarkan 28 pondok interaktif untuk orang ramai di Karnival Sains (Carnival of Science) bermula hari ini sehingga Mac tahun depan.

Pameran dirasmikan pembukaannya oleh Naib Canselor Institut Teknologi Brunei (ITB), Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman. Turut hadir pada acara perasmian ialah Pemangku Ketua Pameran dan Pendidikan OGDC, Albert Change dan Ketua OGDC, Haji Irwandy bin Haji Lois.

Turut dijemput untuk sama-sama menyaksikan keajaiban alam sains di OGDC itu ialah pegawai-pegawai kanan dari ITB, Kementerian Pendidikan, Syarikat Minyak Shell Brunei, guru-guru serta pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Belait.

Karnival Sains ini mempamerkan pelbagai kegiatan dan cabaran yang mendedahkan pengalaman fizik, psikologi dan matematik dalam dunia yang pelik dan aneh. Ia bukan sahaja menguji kepintaran pengunjung malah mencabar mereka untuk melakukan perkara luar biasa seperti berbaring di atas katil penuh paku dalam pondok Bed of Nails.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah bersama pegawai kanan OGDC dan jemputan ketika menyaksikan pameran Karnival Sains.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah bersama pegawai kanan OGDC dan jemputan ketika menyaksikan pameran Karnival Sains.
Pertunjukan sains ketika perasmian pembukaan karnival.
Pertunjukan sains ketika perasmian pembukaan karnival.

Melalui pameran interaktif ini, pengunjung boleh mengetahui bagaimana proses saintifik boleh membantu mereka keluar daripada helah dan perangkap. Ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk menguji kemahiran literasi sains termasuk menyiasat gerakan, daya, tenaga dan momentum.

Dalam pameran itu, OGDC menawarkan pelbagai program pendidikan, selaras dengan kurikulum sekolah, memberi manfaat kepada pelajar dan guru selain memastikan mereka berseronok melakukan kegiatan yang ada di sana.

ARTIKEL YANG SAMA