Peluang dapat hadiah di Laluan Warisan

Peluang dapat hadiah di Laluan Warisan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Dalam usaha untuk sama-sama mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan memperkenalkan tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Seri Begawan, Jabatan Pembangunan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan mengetengahkan Laluan-Laluan Warisan Bandar Seri Begawan yang dibangunkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa acara Bandarku Ceria pada 2 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KSSUP, laluan warisan itu dihasratkan untuk mempromosikan 10 tempat warisan menarik di sekitar bandar termasuk Taman Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Kampong Ayer dan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Pembangunan Pelancongan mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mengambil gambar selfie dengan 10 tarikan warisan di Bandar Seri Begawan semasa acara Bandarku Ceria serta mengongsikan gambar-gambar berkenaan di laman-laman media sosial termasuk Instagram, Twitter dan Facebook dengan menggunakan tag @visitbrunei, @bandarkuceria, #discoverbrunei atau #bandarkuceria.

Hadiah akan diberikan kepada 100 orang peserta pertama yang berjaya untuk menamatkan laluan yang diberikan.

Oleh itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menonjolkan bakat kreatif mereka dan merakam keindahan warisan Bandar Seri Begawan.

Bagi yang berminat, mereka boleh membuat pendaftaran di Checkpoint Heritage yang terletak di Bangunan Sekretariat, Bandar Seri Begawan pada jam 8 pagi hingga 8:30 pagi pada 2 Oktober ini.

ARTIKEL YANG SAMA