Peluang dapatkan perabot kayu klasik Sarawak

Peluang dapatkan perabot kayu klasik Sarawak

pg07_160127_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Selepas kejayaan diperkenalkan dalam Pesta Pengguna ASEAN baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) atau juga dikenali sebagai STIDC kembali lagi menyertai Pesta Pengguna ke-17 yang akan bermula esok hingga 31 Januari ini.

Kemunculan STIDC pada Pesta Pengguna ASEAN Jun 2015, membolehkan mereka untuk menarik minat kalangan rakyat Brunei terhadap produk yang mereka tawarkan.

Hasilnya adalah menggalakkan dan ia membuktikan bahawa Brunei merupakan pasaran yang berpotensi, kata satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Atas sambutan itulah, STIDC telah mendapatkan sejumlah 15 petak pameran pada Pesta Pengguna ke-17 ini.

Kenyataan itu berkata, perabot-perabot buatan tangan yang mereka tawarkan adalah berkualiti tinggi dan klasik dan ini adalah peluang bagi pengumpul untuk membeli perabot klasik dan canggih di Brunei Darussalam.

Terdapat juga berbagai hidangan dari Sarawak, seperti Kek Lapis Sarawak, Satay beku, makanan laut kering dan banyak lagi untuk diperoleh pada pameran itu nanti.

Dalam pada itu, terdapat juga pakaian berkualiti, manik Sarawak dan aksesori menanti pengunjung. Menggambarkan kepelbagaian produk yang akan dipamerkan dalam 15 petak pameran di dalam Dewan Plenari (Zon Ungu), ia sudah pasti menarik perhatian.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak II merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hassan dan juga pegawai–pegawai tertinggi Sarawak dijangka hadir pada pameran itu untuk melancarkan Sarawak Timber di acara yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu nanti.

STIDC yang ditubuhkan pada 1973 dan berpangkalan di Kuching, terlibat dalam perancangan, kajian, pemantauan dan melaporkan perkembangan industri yang berasaskan kayu di Sarawak serta mempromosikan industri balak di Sarawak.

ARTIKEL YANG SAMA