Peluang ekonomi Brunei tidak terhad

Peluang ekonomi Brunei tidak terhad

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Negara Brunei Darussalam mempunyai sumber hidrokarbon yang banyak dan mampu untuk mengembangkannya serta menambah nilai sumber itu dengan meneroka peluang penghasilan produk-produk daripada sumber tersebut untuk dieksport.

Pada masa yang sama, Brunei juga mampu untuk meneroka peluang-peluang baru untuk mempelbagaikan ekonominya dari industri minyak dan gas, ulas Naib Presiden Republik India, Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Hamid Ansari ketika menjawab soalan mengenai usaha mempelbagaikan ekonomi negara daripada terus bergantung kepada minyak dan gas selepas kuliah khasnya di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

“Saya tidak melihat ia menjadi satu halangan bagi Brunei untuk melakukan kedua-duanya sekali gus iaitu menggunakan sumber hidrokarbon sedia ada untuk menambah nilai sumber itu dengan menghasilkan produk yang baru dan pada masa yang sama, meneroka peluang lain untuk mempelbagaikan ekonomi negara,” jawab beliau.

Beliau menerangkan hidrokarbon merupakan sumber Brunei dan ada dua cara untuk menggunakannya. Ia boleh dieksport sebagai minyak mentah atau cecair gas asli dan cara kedua menggunakan sumber itu di Brunei dalam sektor pembuatan.

 (Dari kiri) Naib Canselor UBD,  Naib Presiden Republik India, Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan.
(Dari kiri) Naib Canselor UBD, Naib Presiden Republik India, Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan.
TYT Dr. Mohammad Hamid Ansari ketika menyampaikan ucapan.
TYT Dr. Mohammad Hamid Ansari ketika menyampaikan ucapan.

“Cadangan yang kami sedang terokai bersama kerajaan dan syarikat-syarikat di sini ialah selain mengeksport gas, kita gunakan gas itu di sini untuk menghasilkan produk. Kita menjana peluang pekerjaan di sini dan menjana satu bidang perniagaan yang baru.

“Dari bidang itu Brunei boleh meneroka bidang-bidang lain seperti teknologi maklumat di mana saya yakin belia Brunei yang menyumbang kepada penyelidikan baru boleh menghasilkan bidang ekonomi yang baru,” jelas TYT Dr. Mohammad Hamid.

Pada masa ini, ulas beliau, belum ada lagi sebarang batasan bagi aliran teknologi dan idea. Oleh itu, generasi muda merupakan pembawa idea baru yang terbaik untuk menyebarkan idea dan teknologi berkenaan dan TYT Dr. Mohammad Hamid percaya kedua-dua usaha itu mampu saling bergerak bersama untuk mempelbagaikan ekonomi dan membangunkan industri baru menggunakan sumber hidrokarbon yang ada.

Beliau tidak menafikan negara ini boleh mempelbagaikan ekonominya dengan menggunakan sumber baru tetapi ia akan mengambil masa untuk dimajukan atau negara boleh menggunakan sumber sedia ada untuk memajukan ekonominya.

Ketika menjawab soalan mengenai kejatuhan harga minyak mentah pada masa ini, dalam persoalan itu, TYT Dr. Mohammad Hamid berkata ada dua bidang yang perlu dilihat iaitu India sebagai pengimport hidrokarbon utama, dan kejatuhan harga komoditi itu memberi manfaat kepada India kerana ia mampu mendapatkan sumber berkenaan pada harga yang lebih murah.

“Walaupun kejatuhan harga membantu kami dari segi pertukaran asing dari import sumber-sumber tenaga tetapi pada masa yang sama, pelaburan asing yang kami inginkan dan kerjasama asing yang kami harapkan dengan negara-negara di seluruh negara juga menunjukkan penurunan.

“Dalam hubungan itu, kita harus mengimbangi kedua-dua perkara itu,” jelas beliau sambil menambah mekanisme bagi perubahan itu perlu diimbangi.

Dari satu sudut, beliau berkata India amat mengalu-alukan penurunan harga minyak untuk penjimatan tetapi pada sudut yang lain, penurunan harga itu memberi kesan kepada kapasiti rakan-rakan pengeluar tenaga untuk bekerjasama secara ekonomik dari segi pelaburan dalam sektor-sektor utama.

ARTIKEL YANG SAMA