Peluang Hamilton pecah rekod

Peluang Hamilton pecah rekod

SPIELBERG, Austria, 19 Jun (AFP) – Selepas kebangkitan menakjubkan pada Grand Prix Kanada, juara bertahan dan pendahulu kejuaraan Lewis Hamilton berpeluang meneruskan kemenangannya serta memecah rekod pada Grand Prix Austria, hujung minggu ini.

Juara dunia dua kali itu boleh menyamai rekod berusia 45 tahun dilakar rakan senegara dari Britain, Jackie Stewart jika dia mendahului perlumbaan 71 pusingan di Red Bull Ring yang dikelilingi hutan dan lembah di pergunungan Alps Styrian.

Kemenangan Hamilton buat Mercedes di Montreal adalah perlumbaan ke-16 berturut-turut dia mendahului sejak Grand Prix Hungary tahun lalu.

Sekali lagi dan dia akan menyamai rekod juara tiga kali Stewart yang mendahului 17 perlumbaan berturut-turut dari 1968 hingga 1971.

Kejayaan di Kanada juga membantunya melupakan memori kesilapan pasukan Mercedes di Monaco dan mengukuhkan semula pendahuluannya dalam kejuaraan tahun ini kepada 17 mata di depan rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg dari Jerman, kedua-duanya meraih penamat 1-2 kali ke-20 bagi pasukan moden ‘Silver Arrows’.

Rosberg menang di Austria tahun lalu dengan Hamilton di tangga kedua di depan dua kereta Williams dikemudi pemandu Finland, Valtteri Bottas dan Felipe Massa dari Brazil, yang bermula dari petak utama dan pasukan Britain itu yakin jentera yang banyak dikemaskini itu boleh membantu meraih keputusan sama hujung minggu ini.

“Secara umum, saya fikir lebih gembira bersama kereta ini tahun ini berbanding kereta tahun lalu,” kata Hamilton.

ARTIKEL YANG SAMA