Peluang Ikrar komitmen

Peluang Ikrar komitmen

SUNNYLANDS, California, 15 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selamat berangkat tiba di Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat (AS) – ASEAN yang akan berlangsung di Sunnylands, Rancho Mirage, California selama dua hari mulai hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Springs, California dijunjung oleh Penolong Ketua Protokol, AS, Gladys Boluda.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar; dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Rancho Mirage, California tempat persemayaman Baginda sepanjang keberangkatan ke Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-Pemimpin AS-ASEAN. Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Hubungan dialog AS-ASEAN telah berkembang maju sejak ia ditubuhkan pada tahun 1977.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Springs, California dijunjung oleh Gladys Boluda.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Springs, California dijunjung oleh Gladys Boluda.

pg03_160216_b

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini semasa berangkat tiba di AS bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN yang berlangsung di Sunnylands, Rancho Mirage, California dari 15 hingga 16 Februari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini semasa berangkat tiba di AS bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN yang berlangsung di Sunnylands, Rancho Mirage, California dari 15 hingga 16 Februari ini.

pg03_160216_c

Selain bertukar-tukar pandangan mengenai politik dan hal ehwal keselamatan pada awal penubuhannya, kedua-dua pihak memberikan keutamaan kepada kerjasama dalam komoditi, pasaran dan akses kepada modal, pemindahan teknologi, pembangunan sumber-sumber tenaga, perkapalan, dan keselamatan makanan.

Melalui Kenyataan Bersama mengenai Perkongsian Strategik AS-ASEAN yang diterima-pakai pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN ke-3 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 21 November 2015, para pemimpin AS-ASEAN telah mengumumkan peningkatan hubungan dialog AS-ASEAN ke peringkat strategik.

Sidang kemuncak khas pemimpin-pemimpin AS-ASEAN itu melambangkan pengiktirafan AS terhadap kepentingan diplomatik, ekonomi dan strategi ASEAN.

Ia mesyuarat signifikan buat kedua-dua pihak, ASEAN dan AS.

Ia juga merupakan sidang kemuncak pertama selepas peningkatan hubungan dialog kepada perkongsian strategik pada November tahun lepas di Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak dua hari itu memberi peluang kepada para pemimpin untuk sekali lagi mengikrarkan komitmen terhadap prinsip-prinsip yang menjadi asas perkongsian strategik itu.

Pada hari pertama, para pemimpin dijangka membincangkan mengenai masa depan pertumbuhan ekonomi ASEAN berasaskan inovasi dan keusahawanan.

Sementara itu, pada hari kedua pula, mereka berkemungkinan membincangkan isu-isu politik dan keselamatan termasuk tindakan kaunter-keganasan, cabaran transnasional dan Laut China Selatan.

Pemimpin-pemimpin berkenaan juga akan membincangkan soal mempromosi ekonomi digital dan inisiatif teknologi bersih bila mereka bertemu pada sesi ekonomi pada Isnin.

Perdagangan AS-ASEAN pada 2014 dicatatkan pada AS$212.4 bilion dengan hampir 10 peratus eksport ASEAN ke AS berjumlah AS$122.4 bilion sementara lebih tujuh peratus import ASEAN datang dari AS berjumlah AS$90 bilion.

Lebih 70 peratus eksport ASEAN ke AS merupakan produk kilang seperti tekstil dan pakaian bagi sebilangan negara ASEAN sementara import ASEAN khususnya kelengkapan elektrik, farmaseutikal, makanan dan minuman serta jentera.

Pelaburan AS dalam ASEAN pada 2014 berjumlah AS$13 bilion atau 9.6 peratus daripada jumlah pelaburan asing langsung (FDI) mengalir ke rantau ini.

AS merupakan sumber FDI ketiga terbesar ASEAN pada 2014.

Selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke AS akan menyertai jerayawara selama dua hari bermula Rabu (Khamis di BSB) di San Francisco dan Lembah Silikon, California, yang bermatlamat untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan syarikat-syarikat AS tentang potensi ASEAN sebagai pasaran kompetitif dan keselesaannya sebagai pusat pelaburan dan perniagaan.

Menerusi jerayawara itu, AEM diberi peluang melihat kemajuan syarikat-syarikat teknologi di AS bagi tujuan perkongsian teknologi dengan negara-negara ASEAN.

Jerayawara itu akan meliputi mesyuarat antara AEM dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) bagi membincang isu-isu perdagangan, pelaburan dan hala tuju kerjasama ekonomi antara ASEAN dan AS.