Peluang jadi rekrut wanita ABDB

Peluang jadi rekrut wanita ABDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Setelah ditangguhkan sejak 2011, Pendaftaran bagi Pengambilan Rekrut Wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-52 dibuka kembali bermula 14 September ini. Bagaimanapun, pendaftaran adalah terhad kepada 250 orang sahaja dan tarikh tutup pengambilan akan diumumkan kemudian sebaik sahaja jumlah tersebut dicapai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ABDB di sini, hari ini, seramai 50 orang pemohon yang berjaya akan dihubungi untuk menjalani ujian asas ketenteraan rekrut selama tiga bulan di Institut Latihan ABDB yang dijadualkan bermula pada Februari 2016.

Syarat-syarat kemasukan termasuk penduduk tempatan (kad pengenalan kuning), berstatus bujang (tidak pernah berkahwin) dan berumur di antara 18 hingga 25 tahun pada hari memulakan latihan.

Selain itu, para pemohon mestilah mempunyai ketinggian tidak kurang daripada 152 sentimeter dan jisim tubuh badan hendaklah dalam kategori normal (lingkungan 19 hingga 27).

Manakala syarat akademik minimum adalah memperoleh dua kredit dalam apa saja mata pelajaran Sijil Am Peringkat Biasa (GCE ‘O’ Level) atau mana-mana kelulusan yang sebanding dengannya serta diiktiraf oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana kelulusan lebih tinggi merupakan satu kelebihan.

Bagi memastikan kelancaran sesi pendaftaran itu nanti, para pemohon dikehendaki untuk memberikan kerjasama kepada pihak Pejabat Pengambilan ABDB dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan hanya mereka yang berhasrat untuk mendaftar sahaja dibenarkan memasuki tempat pendaftaran.

Para pengunjung bolehlah meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah atau kawasan di sekitarnya.

Pendaftaran akan dijalankan di Pejabat Pengambilan ABDB di B11, Simpang 32-66, Flat Anggerek Desa dan dibukakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 8:30 pagi untuk sesi pagi dan 2:00 petang untuk sesi petang kecuali hari Jumaat yang tidak dibukakan pada sebelah petang.

Nombor pendaftaran untuk setiap sesi adalah dihadkan kepada 50 nombor sahaja, maka dinasihatkan kepada mereka yang berminat agar dapat sedia merancang perjalanan dengan baik.

Dalam pada itu, para pemohon juga dikehendaki datang dengan berpakaian kemas (baju kurung) dan bertudung bagi yang beragama Islam, membawa bersama salinan asal kad pengenalan serta dokumen-dokumen seperti sijil kelulusan akademik.

Bagi sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Pejabat Pengambilan ABDB di talian 2383074/2383075.

ARTIKEL YANG SAMA