Peluang Kane gegar Eropah

LONDON, 12 Feb – Harry Kane menjaringkan lebih banyak gol berbanding Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi dalam tahun 2017, namun di pentas Liga Juara-Juara penyerang prolifik Tottenham itu perlu menghasilkan persembahan terbaik untuk benar-benar menjadi pesaing kepada Pemain Terbaik Dunia lima kali itu.

Kane mendapat peluangnya apabila kejohanan elit kelab Eropah itu kembali Rabu ini, di mana dia mengetuai Spurs ke Stadium Allianz di Turin, di mana gergasi Itali itu hanya tewas sekali daripada 27 perlawanan Liga Juara-Juara.

“Perlawanan besar tetapi itulah yang anda tunggu-tunggu sebagai seorang pemain,” kata Kane selepas menjadi penjaring tunggal ketika menentang Arsenal bagi jaringan ke-32 peribadinya musim ini.

“Anda mahu menguji diri sendiri menentang yang terbaik dan Juventus beraksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara kebelakangan ini, jadi tidak sabar menghadapinya.”

Juventus mempunyai pertahanan kental yang perlu ditembusi, diketuai oleh penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon dan pertahanan veteran Giorgio Chiellini, yang hanya bolos sekali dalam 16 perlawanan terakhir mereka.

Duo Spurs, Harry Kane (kanan) dan Dele Alli mempunyai peluang untuk menyerlah di pentas Liga Juara-Juara selepas menghasilkan persembahan cemerlang di Liga Perdana. – AP

“Harry Kane adalah pemain hebat. Dia pernah beraksi menentang kami tiga tahun lepas dan prestasinya sudah meningkat sejak itu,” kata Chiellini.

“Kini dia telah menjaringkan lima gol lebih banyak berbanding Messi tahun lepas, dan itu berbeza dengan menjaringkan lebih banyak gol berbanding Chiellini!”

Juara Itali itu telah menyepikan Messi, Luis Suarez dan Neymar dalam dua perlawanan separuh akhir menentang Barcelona dalam laluan final kedua mereka dalam tempoh tiga tahun musim lepas.

Pemain tengah Jerman, Sami Khedira percaya mengekang Kane adalah tugas besar.

“Bagi saya Harry Kane mungkin seorang penyerang yang hampir lengkap,” katanya kepada BBC.

“Dia kuat, bagus dalam tandukan, pantas dan mampu menjaringkan gol dengan satu sentuhan, malah bijak mengelecek.

“Bagi saya, dia adalah pemain yang luar biasa dan masih muda, jadi Tottenham bernasib baik untuk memilikinya.” – AFP