Peluang ke menara gading

Peluang ke menara gading

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Kementerian Pendidikan menjangkakan pendaftaran kebangsaan ke institusi pengajian tinggi akan meningkat kepada 35 peratus menjelang 2020, berbanding 20 peratus pada masa ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus melabur dan meningkatkan peluang memasuki institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara melalui pelbagai inisiatif termasuk memperkenalkan pelbagai program biasiswa.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika merasmikan Pesta Pengajian Tinggi AS 2016 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun di Gadong, hari ini.

Hadir sama ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Beliau berkata, salah satu inisiatif itu ialah Skim Pinjaman Pendidikan yang memberi peluang kepada pelajar yang tidak berjaya mendapat biasiswa atau tidak membuat permohonan terhadapnya, untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan atau di luar negara.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi memukul gong sebagai simbolik perasmian Pesta Pengajian Tinggi 2016 sambil disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Craig Allen.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi memukul gong sebagai simbolik perasmian Pesta Pengajian Tinggi 2016 sambil disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Craig Allen.

“Kementerian Pendidikan akan terus berusaha untuk meningkatkan kemudahan kemasukan dengan tumpuan diberikan kepada kualiti pendidikan yang diterima oleh para pelajar tempatan dan dari mana mereka memperolehnya,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Negara Brunei Darussalam pada masa ini telah menjalin hubungan yang erat dengan beberapa universiti ternama di AS pada masa ini dan telah menyaksikan sebanyak 15 memorandum persefahaman ditandatangani.

Antara fokus yang diberi perhatian ialah program pertukaran pelajar, program kerjasama dan yang dikendalikan di luar negara serta program penyelidikan yang dikendalikan bersama.

Salah satu program yang sedang berjalan ialah Program Ijazah Sarjana dalam bidang Dasar Awam dan Pengurusan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang memperuntukkan tempoh satu semester bagi pelajar menyambung pengajian mereka di universiti terbaik seperti Universiti Georgetown, Universiti Maryland, Universiti Duke dan University of California, Berkeley.

Sejurus selepas menyampaikan ucapannya, tetamu kehormat telah memukul gong tanda merasmikan Pesta Pengajian Tinggi AS 2016 dan kemudian melawat ke petak-petak pengajian tinggi yang terdapat di situ.

Sebanyak 15 universiti dan kolej dari AS mengambil bahagian dalam pesta pendidikan tahun ini, yang turut mengadakan pesta serupa di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait bagi memberikan pendedahan kepada pelajar di daerah itu mengetahui bidang-bidang pengajian tinggi yang ditawarkan oleh universiti di AS.

ARTIKEL YANG SAMA