Peluang kenali budaya Jepun

Peluang kenali budaya Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Orang ramai akan berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat salah sebuah khazanah budaya masyarakat Jepun yang unik iaitu seni boneka masyarakat Jepun melalui Pameran Boneka Jepun (The Dolls of Japan) yang akan dipamerkan di Muzium Teknologi Brunei bermula pada 16 Ogos hingga 9 September.

Pameran istimewa itu dibawa khas oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Jepun, dengan kemasukan bagi menyaksikan pameran itu adalah percuma.

Menurut kenyataan daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, di negara Jepun, boneka merupakan sebahagian daripada kehidupan harian mereka di mana ia mencerminkan budaya dan aspirasi masyarakat Jepun.

Di samping itu, setiap boneka mempunyai ciri-ciri wilayahnya yang tersendiri dan semenjak zaman dahulu lagi, seni boneka berkenaan telah banyak melalui perubahan. Pada masa yang sama, boneka-boneka berkenaan juga digunakan untuk mempamerkan pelbagai produk kraf tradisional Jepun seperti tekstil Jepun.

Pameran itu akan mengetengahkan pelbagai jenis boneka Jepun termasuk Hina Ningyo (boneka pesta perempuan) dan Gogatsu Ningyo (boneka pesta lelaki) yang mempunyai ikatan kepada adat zaman dahulu, boneka yang berkaitan dengan seni persembahan tradisional seperti noh, bunraku dan kabuki, boneka dari wilayah berbeza di Jepun serta boneka-boneka kreatif yang dihasilkan oleh pakar kraf kontemporari.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi dan menyaksikan sendiri pameran itu serta mengenali pelbagai aspek unik budaya masyarakat Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA