Peluang lahirkan rasa cinta terhadap raja

Peluang lahirkan rasa cinta terhadap raja

Oleh Imelda Groves HA, Syahmi Hassan & Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Majlis junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman menjadi salah satu cara untuk merafak sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja untuk melahirkan rasa cinta terhadap raja yang begitu prihatin terhadap rakyatnya.

Dayang Siti Norhasimah binti Hoseni dari Kampung RPN Meragang berkata sedemikian ditemu bual semasa berbaris menunggu giliran pada hari terakhir Istana Nurul Iman dibuka, kelmarin.

“Kami datang seawal 11 pagi dan hampir masuk ke barisan terakhir sebelum berjumpa kerabat-kerabat diraja di ruang dewan perempuan, walaupun letih namun untuk bersua muka bersama kerabat diraja sahaja sangat berbaloi,” ujarnya lagi yang kelihatan ceria dan gembira untuk bersua muka bersama kerabat diraja.

Menurutnya, mereka hadir sekeluarga bersama adik-beradik dan ibu bapa yang semuanya seramai 10 orang.

Perasaan sama juga diluarkan oleh Dayang Noorul Haffizah binti Roslan dari Kampung Panchor Dulit, Tutong, yang datang bersama suami dan dua orang anaknya, dengan berkata, kunjungan itu sebagai tanda rasa cintakan raja yang begitu prihatin terhadap rakyatnya.

“Jiwa rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk memberikan peluang orang ramai daripada pelbagai bangsa dan agama berkunjung ke Istana Nurul Iman untuk sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri adalah sangat-sangat dihargai,” jelasnya.

Beliau juga merasakan inilah peluang sekali dalam setahun untuk menjunjung kasih dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda kerana sentiasa menerima rakyat jelatanya serta orang ramai untuk sama-sama memeriahkan lagi suasana Hari Raya di Negara Brunei Darussalam

Dalam pada itu, majlis ‘Istana Terbuka’ bukan sahaja memberi peluang keemasan kepada rakyat Brunei malah pe-ngunjung dari luar negara untuk bersua muka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain.

Mak Ah Kit dan keluarganya tidak melepaskan peluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan setiap kali Hari Raya Aidilfitri.
Mak Ah Kit dan keluarganya tidak melepaskan peluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Mak Ah Kit, 38, dari Miri, Sarawak, peluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia memang tidak dilepaskan setiap tahun.

“Kami datang ke Brunei cuma untuk berkunjung ke istana untuk berjumpa dengan raja Brunei dan kami memang banyak kali sudah datang dengan hajat yang sama pada tahun-tahun yang lepas,” ujar beliau yang datang bersama 13 orang anggota keluarga termasuk isteri, adik-beradik dan anak-anak mereka, di mana mereka datang awal pagi tadi dan pulang ke Miri pada sebelah petang.

Sudah empat tahun berturut-turut, Shahul Hamid membawa keluarganya berkunjung ke Istana Nurul Iman.
Sudah empat tahun berturut-turut, Shahul Hamid membawa keluarganya berkunjung ke Istana Nurul Iman.

Manakala itu, Shahul Hamid bin Abdul Latif, yang berasal dari India dan sudah 15 tahun bekerja di negara ini di sebuah kedai runcit, Jalan Tungku, juga telah membawa keluarga termasuk emaknya datang ke Brunei pada Hari Raya Aidilfitri sejak empat tahun lalu.

Kunjungan itu, katanya, menjadi kebiasaan kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini sangat unik kerana dapat bersalaman dengan Baginda Sultan.

Selain itu, beliau juga berpendapat perayaan di Brunei sangat meriah dengan sambutannya diadakan sehingga ke penghujung bulan Syawal.

“Tidak sama dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri di India, di mana kami cuma merayakannya selama tiga hari sahaja. Selepas itu hari-hari di bulan Syawal adalah seperti hari-hari biasa,” kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA