Peluang lebih luas

Peluang lebih luas

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Peluang lebih luas terbuka kepada pelajar berkeperluan khas sekiranya mereka mendapat bantuan sewajarnya sama ada dari segi peralatan atau sumber pembelajaran.

Ini dapat membantu mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sehingga boleh menjadi kebanggaan ibu bapa, masyarakat dan negara, Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Khas dan Sumber Pembelajaran kepada Pelajar-pelajar Berkeperluan Khas yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pencapaian pelajar berkeperluan khas setakat ini amat membanggakan. Dari seramai 375 pelajar, Tahun 6, 98 orang pelajar lulus dalam empat mata pelajaran Teras (Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sains) dalam peperiksaan PSR 2015 lalu.

Manakala daripada 74 lagi yang mempunyai masalah seperti pendengaran, penglihatan, pertuturan dan berkomunikasi, Autisme, fizikal dan lain-lain, 23 orang lulus empat mata pelajaran Teras dalam Peperiksaan PSR 2015.

Menurut Yang Berhormat Pehin, mereka bukan sahaja menonjol dari segi akademik, malahan dalam arena sukan, mereka turut mengambil bahagian.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan kerusi khas kepada salah seorang pelajar.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan kerusi khas kepada salah seorang pelajar.

Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan jumlah pelajar berkeperluan khas yang kini berada di sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi berjumlah 4,161 orang kesemuanya. Daripada jumlah itu, 169 orang pelajar sekolah pra, 2,935 peringkat rendah, 973 peringkat menengah dan 84 orang di peringkat pengajian tinggi.

Yang Berhormat Pehin turut memuji penubuhan Unit Pendidikan Khas yang melatih Guru Sena bagi kemahiran-kemahiran khusus membantu pelajar-pelajar ini. Menurutnya, setakat ini 144 orang guru SENA dengan 43 lagi guru bilik darjah (Homeroom), 102 guru Learning Support dan 129 guru pembantu memudah dan meningkatkan lagi usaha pelajar mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad semasa berucap menyatakan, 30 pelajar terpilih mengikut keutamaan menerima sumbangan berkenaan.

Mereka adalah daripada kalangan pelajar peralatan khas di peringkat pra agar mereka dapat membiasakan diri dan selesa belajar menggunakan peralatan baru yang diterima.

“Seramai 307 orang pelajar memerlukan bantuan khusus seperti komputer riba dengan Assistive Technology, kerusi roda, meja khas, walker, alat pendengaran, mesin Braile, peralatan pembelajaran seperti Structured Learning Approach, Picture Exchange Communication System, Dyslexia Resources dan lain-lain bagi membantu pelajaran mereka,” kata Pengiran Sarimah.

Manakala dalam temu bual bersama ibu bapa pelajar ini, Pengiran Haji Sapiuddin, ayah kepada salah seorang pelajar yang menerima bantuan dari Sekolah Rendah Lambak Kanan 49, melahirkan rasa bersyukur kerana menerima sumbangan berkenaan dan berharap ia dapat meningkatkan lagi pembelajaran anaknya yang menghidap Austisme.

ARTIKEL YANG SAMA