Peluang LSCB mara ke fasa II cerah

Peluang LSCB mara ke fasa II cerah

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Liverpool Supporters Club Brunei (LSCB) mencerahkan semula peluang kemaraannya ke pusingan kedua Futsal Piala Perdana TelBru 2015 apabila menang pertarungan sengit 3-2 menentang Eagle Blues.

Pada aksi Kumpulan C kedua malam tadi, LSCB membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Ahmad Marwan, tetapi Md Nur Hamzeha menyamakan kedudukan menjadi 1-1 untuk Eagle Blues hanya dua minit kemudian.

Empat minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Ahmad Marwan sekali lagi berjaya membolosi gawang Eagle Blues untuk gol kedua pasukan.

Kedudukan 2-1 memihak LSCB itu bertahan sehingga babak pertama tamat.

Pemain LSCB cuba menewaskan penjaga gol Eagle Blues.
Pemain LSCB cuba menewaskan penjaga gol Eagle Blues.

Eagle Blues terus mencari gol penyamaan sejurus separuh masa kedua bermula dan pada minit ke-28 usaha mereka berhasil menerusi jaringan Ampuan Md Firdaus.

LSCB menggandakan usaha mencari gol kemenangan yang menjelma pada minit ke-31 hasil jaringan Mohd Shawal.

LSCB kemudiannya bertahan baik untuk menghalang Eagle Blues daripada mendapatkan jaringan penyamaan sehingga pengadil meniup wisel penamat sekali gus memberikannya tiga mata penuh.

Dengan Star Madang menang dalam perlawanan terdahulu untuk mengumpul enam mata, LSCB dan Eagle Blues kini sama-sama mengutip 3 mata di tempat kedua dan ketiga Kumpulan C, sementara Kilugos FC di tempat tercorot tanpa sebarang mata.

Ketika Star Madang sudah mengesahkan kemarannya ke pusingan kalah mati, kini peluang LSCB dan Eagle Blues bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir masing-masing 30 Ogos nanti di Dewan Serba guna, KSNHB.

Tugas getir menanti Eagle Blues yang perlu memberikan kekalahan pertama kepada Star Madang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 30 Ogos itu bermula jam 8 malam, sementara LSCB selepas itu akan bermain menentang Kilugos FC bermula jam 9:30 malam, yang masih berpeluang mara jika menang dan Eagle Blues juga tewas, untuk tiga pasukan terikat tiga mata sama.