Peluang luas jaringan

Peluang luas jaringan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh usahawan-usahawan Negara Brunei Darussalam yang mengambil bahagian dalam Pameran Pengguna dan Perdagangan Antarabangsa Brunei 2016 diketengahkan dan diperkenalkan melalui sesi perjumpaan bagi delegasi Brunei dengan usahawan-usahawan dari luar negara yang diadakan di Dewan Pameran, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Semasa perjumpaan itu, usahawan tempatan berpeluang untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada usahawan dari luar negara serta untuk memberikan penerangan mengenai dengan pasaran Brunei terutama daripada segi peluang peniagaan bagi kepentingan kedua belah pihak.

Sesi perjumpaan itu dihadiri oleh usahawan-usahawan dan peserta pameran daripada beberapa buah negara termasuk Thailand, Indonesia dan Malaysia di mana mereka berpeluang untuk mengetengahkan produk masing-masing dan bertukar-tukar pendapat serta menubuhkan peluang rangkaian perniagaan supaya mereka dapat menerokai peluang perniagaan yang terdapat di pasaran Brunei.

Kumpulan usahawan dari Malaysia yang turut menyertai sesi perjumpaan itu, menyatakan kepada Media Permata, bahawa mereka amat berminat untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran Brunei dan percaya melalui rangkaian kerjasama perniagaan dengan usahawan Brunei, mereka mampu menerokai pasaran di Brunei.

Pameran Pengguna dan Perdagangan Antarabangsa Brunei yang berlangsung di Dewan Pameran, BRIDEX, Jerudong.
Pameran Pengguna dan Perdagangan Antarabangsa Brunei yang berlangsung di Dewan Pameran, BRIDEX, Jerudong.
Para peniaga, usahawan dan pengedar mempromosikan sambil berbincang mengenai peluang serta kesesuaian produk yang ditawarkan untuk memasuki pasaran masing-masing.
Para peniaga, usahawan dan pengedar mempromosikan sambil berbincang mengenai peluang serta kesesuaian produk yang ditawarkan untuk memasuki pasaran masing-masing.

Manakala itu, Eksekutif Pemasaran dari Cityneon Brunei, Lau Ben Ny menjelaskan kepada Media Permata bahawa para usahawan yang menghadiri sesi perjumpaan itu adalah terdiri daripada usahawan dari Taiwan, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina di mana mereka merupakan pengedar bagi produk-produk yang ditawarkan serta memberikan contoh promosi mereka kepada usahawan atau peniaga yang berminat di Brunei untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran tempatan.

Beliau juga berkata sesi perjumpaan itu memberikan peluang kepada para peniaga dan pengedar untuk melihat produk masing-masing dan meneroka peluang serta kesesuaian produk mereka untuk menembusi dan diterima di pasaran masing-masing.

Pameran Pengguna dan Perdagangan Antarabangsa Brunei 2016 yang dianjurkan dan diurus oleh Cityneon Brunei itu berlangsung selama lima hari bermula 27 Februari hingga 2 Mac bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam di BRIDEX, Jerudong.

ARTIKEL YANG SAMA