Peluang memahami perisian Azure

Peluang memahami perisian Azure

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Perkembangan perisian dan teknologi pada masa ini berkembang dengan pantas dan pesat sekali sehingga setiap beberapa bulan pasti ada teknologi baru akan diperkenalkan.

Oleh itu adalah amat penting bagi para pengguna teknologi atau perisian komputer untuk mengetahui mengenai kemajuan terkini serta teknologi baru yang diperkenalkan khususnya yang dihasilkan oleh Microsoft. Sehubungan dengan itu, Microsoft dan Concepts Technologies telah mengadakan Seminar Azure Discovery di Dewan Brilliance, cawangan Concepts Computer, Kiulap, hari ini.

Seminar yang dihadiri kira-kira 50 wakil rakan kongsi Concepts Technologies itu memberi peluang pesertanya untuk mengenal lebih dekat lagi mengenai ciri-ciri dan manfaat daripada penggunaan perisian Azure yang dihasilkan oleh Microsoft.

Seminar selama dua hari yang dikendalikan oleh Jurutera Microsoft Premier, Kenneth Teo telah menjelaskan mengenai ciri-ciri perisian Azure dan bagaimana penggunaan perisian itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna dalam memudahkan lagi tugasan harian mereka termasuk penggunaan teknologi ‘Cloud Microsoft.’

Antara rakan-rakan kongsi Concepts Technologies yang menghadiri seminar itu.
Antara rakan-rakan kongsi Concepts Technologies yang menghadiri seminar itu.

Pengurus Pengedaran Perisian Concepts Technologies, Ardoni Siregar berkata seminar itu merupakan sebahagian dari siri Boot Camp yang diadakan setiap empat bulan bersama rakan-rakan kongsi mereka untuk menjelaskan mengenai perkembangan terkini dalam bidang teknologi dan perisian komputer khususnya yang dihasilkan oleh Microsoft.

Siri ceramah Boot Camp itu, jelasnya lagi, akan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Microsoft yang diundang khas untuk mengongsikan pengalaman dan ilmu pengetahuan mereka supaya para pengguna akan lebih memahami ciri-ciri perisian serta cara untuk memanfaatkannya.

Tambah beliau lagi, walaupun siri boot camp diadakan setiap empat bulan, pihaknya juga mengadakan ceramah berskala kecil setiap bulan untuk mendedahkan mengenai produk-produk terbaru dan perkembangan teknologi terkini kepada rakan kongsi mereka sebagai strategi berterusan Concepts Technologies dan Microsoft.

ARTIKEL YANG SAMA