Peluang memahami Puncak Pertama

Peluang memahami Puncak Pertama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Jabatan Pengajian Melayu Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, hari ini, telah menganjurkan Majlis Bicara Bersama Penulis Novel Puncak Pertama yang berlangsung di Dewan Multimedia Teater, di pusat berkenaan.

Hadir di majlis itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Alex Bandang; Penulis Novel dan Penerima S.E.A Write Awards Tahun 1986, Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut; dan Ketua Asterawani 1, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Turut hadir ahli jawatankuasa tertinggi Asterawani, Awang Kamis Tuah; ahli Asterawani, Dr Haji Ramlee bin Haji Tingkong dan guru-guru serta para pelajar yang mengambil bidang sastera.

Terdahulu, Awang Alex dalam ucapan alu-aluannya mengatakan, tujuan majlis itu adalah untuk memberi pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang novel berkenaan khususnya kepada para pelajar yang hadir.

Tahun ini adalah merupakan kali pertama Novel Puncak Pertama ini digunakan dalam Peperiksaan BGCE A Level.

Ahli-ahli panel yang menyampaikan topik perbicaraan, (dari kiri) Dr Haji Ramlee, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim dan Awang Kamis Tuah.
Ahli-ahli panel yang menyampaikan topik perbicaraan, (dari kiri) Dr Haji Ramlee, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim dan Awang Kamis Tuah.
Antara para pelajar yang hadir di majlis berkenaan.
Antara para pelajar yang hadir di majlis berkenaan.

“Kita sangat beruntung pada hari ini kerana diberikan peluang untuk meluangkan masa bersama dengan seorang sasterawan Negara Brunei Darussalam yang banyak menyumbangkan tenaga dan idea kreatif khususnya dalam bidang penulisan.”

Novel Puncak Pertama ini telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan menulis novel sempena kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1983 dan ia mengisahkan kisah perjuangan, penderitaan dan pengalaman wataknya dalam mencari puncak-puncak hidup.

Beliau berharap agar Dato Paduka Haji Muslim dapat memupuk dan menggalakkan para pelajar agar terlibat di dalam bidang penulisan kreatif.

Majlis itu turut diselajurkan dengan sesi perbincangan yang dimulakan dengan tajuk Pengenalan Plot, Watak dan Perwatakan serta Sudut Pandangan oleh Awang Kamis Tuah dan kemudian perbicaraan tajuk Tema dan Persoalan oleh Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim.

Perbicaraan itu diteruskan lagi dengan tajuk Sosiologi sastera Novel Puncak Pertama oleh Dr Haji Ramlee dan Proses Penulisan Novel Puncak Pertama oleh Dato Paduka Haji Muslim.

ARTIKEL YANG SAMA