Peluang menangi baju Chelsea

Peluang menangi baju Chelsea

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Sejumlah 58 pasang baju edisi terhad Yokohama Chelsea akan diberikan kepada juara Sukan Ria Antara Syarikat pada majlis penutup di Sekolah Menengah Chung Hwa pada 22 Mei depan yang disumbangkan oleh YHI Corporation (B) Sdn Bhd.

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan jersi tersebut telah diadakan hari ini oleh Pengurus Cawangan YHI Corporation (B) Sdn Bhd, Rickey Tay kepada perwakilan Pengurus Acara Sukan Ria tersebut iaitu Pengurus Besar D’Sunlit Sdn Bhd, Christopher Chee.

Kejohanan Futsal pula telah bermula sejak 20 April dan majlis pembukaan rasmi bagi sukan ini akan diadakan pada 24 April ini di Kompleks Sukan, Jabatan Kerja Raya bermula 10:30 pagi yang dibukakan secara percuma kepada orang awam untuk menghadiri dan menyaksikan acara ini serta menyokong para peserta.

Menurut kenyataan di sini, Sukan Ria Antara Syarikat merupakan anjuran Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, yang dikendalikan oleh D’Sunlit Sdn Bhd dan dianjurkan bersama oleh persekutuan-persekutuan sukan kebangsaan yang berkaitan dan pertubuhan-pertubuhan sukan.

Ia mempertandingkan enam acara sukan termasuk berlari, badminton, bola keranjang, bola jaring, futsal dan boling. Sukan ini telah bermula dengan Cabaran Larian pada 10 April lepas dan akan berakhir pada 22 Mei dengan perlawanan akhir Kejohanan Bola Keranjang di Sekolah Menengah Chung Hwa.

Rickey Tay menyerahkan baju edisi terhad Yokohama Chelsea kepada Christopher Chee.
Rickey Tay menyerahkan baju edisi terhad Yokohama Chelsea kepada Christopher Chee.

Di samping itu, kesemua pendaftaran bagi acara sukan telah ditutup kecuali bagi sukan boling dan bola jaring. Sehubungan dengan itu, belum terlambat untuk membawa pulang baju edisi terhad Yokohama Chelsea ini dengan menjadi sebagai juara.

Tarikh tutup pendaftaran bagi acara boling adalah pada 23 April di Megastrike Bowl Sdn Bhd yang akan bermula pada 1 Mei, pendaftaran bagi acara bola jaring pula ditutup pada 30 April dan kejohanan akan bermula di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya pada 6 Mei.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun dari www.sukanriabrunei.com, bagi mengetahui perkembangan mengenai sukan ini bolehlah mengunjungi laman Facebook ‘D’Sunlit Sdn Bhd’ dan akaun Instagram @dsunlit dan @sukanriabrunei atau menghubungi Jabatan Pemasaran D’Sunlit di talian 2453666.