Peluang menangi kereta dengan Helix

Peluang menangi kereta dengan Helix

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Para pengguna minyak pelincir, Shell Helix, yang bertuah akan berpeluang untuk memenangi dan membawa pulang sebuah kereta baru, Volkswagen Tiguan dalam Promosi Menang dengan Helix yang dianjurkan oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) selama tiga bulan bermula 1 Jun hingga 31 Ogos nanti.

Sehubungan itu, pelancaran promosi istimewa berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha pada majlis yang berlangsung di Lobi Bangunan PGGMB, ibu negara, hari ini.

Di majlis itu juga, Pengiran Shamhary turut menyampaikan poster promosi kepada dua wakil pengedar rasmi produk BSM iaitu Pengarah Urusan TK Asco Enterprise, Dominic Ng dan Pengarah Urusan Romet Plus Marketing Sdn Bhd, Steven Sim.

Dalam promosi istimewa itu, para pelanggan BSM yang membuat pembelian minyak pelincir motor Shell Helix 4 liter iaitu Shell Helix Ultra, Shell Helix HX7 dan Shell Helix HX5, layak untuk mendapatkan satu borang penyertaan bagi setiap pembelian mereka di mana borang-borang yang lengkap diisi boleh dimasukkan ke dalam kotak khas yang disediakan di Pengedar Rasmi BSM yang mengambil bahagian, penjual dan stesen-stesen minyak.

Pengiran Shamhary (kanan) menyampaikan poster promosi kepada Dominic Ng.
Pengiran Shamhary (kanan) menyampaikan poster promosi kepada Dominic Ng.

Bagi promosi istimewa itu, hadiah-hadiah berjumlah keseluruhan kira-kira $50,000 menanti para pelanggan BSM yang bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Volkswagen Tiguan, hadiah kedua pakej percutian untuk dua orang ke Korea, hadiah ketiga pakej percutian untuk dua orang ke Sepang, Kuala Lumpur serta pelbagai hadiah-hadiah menarik.

Di samping itu, pemenang-pemenang hadiah sagu hati akan diumumkan pada Julai dan Ogos nanti yang mana para pemenang hadiah sagu hati berkenaan juga layak untuk memenangi hadiah semasa cabutan bertuah utama yang akan diadakan pada September nanti di lokasi dan tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Promosi istimewa yang diadakan itu adalah sebagai tanda penghargaan daripada BSM kepada para pelanggan minyak pelincir Shell Helix.

Shell Helix Ultra sesuai untuk digunakan bagi enjin diesel dan petrol menggunakan teknologi terkini iaitu teknologi PurePlus yang menggunakan kuasa gas asli yang digabungkan dengan teknologi pembersihan aktif bagi menghasilkan revolusi bari dalam teknologi minyak pelincir.

ARTIKEL YANG SAMA