Peluang mencari kerja

Peluang mencari kerja

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Mei – Pusat Membeli-belah KBSentral menjadi tumpuan kalangan pencari kerja apabila pameran kerjaya anjuran bersama pusat membeli-belah itu dengan Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) memasuki hari kedua, hari ini.

Beberapa pencari kerja yang ditemui memberitahu, acara seperti ini, sedikit sebanyak memberikan harapan dan peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan, setelah mengisikan borang permohonan dengan menyertakan sijil dan resume mereka kepada syarikat-syarikat yang menyertai pameran tersebut.

Awang Abu Bakar berkata, selain daripada mencari peluang untuk mendapatkan pekerjaan, dia juga kini sedang berjinak-jinak mendekatkan diri dalam perusahaan perniagaan kecil dan sederhana bersama beberapa orang rakannya yang mempunyai minat yang sama.

“Kami tidak dapat hanya mengharap untuk terus menunggu sehingga mendapatkan pekerjaan tetap, tetapi kami perlu mencari ruang lain, sekurang-kurangnya yang dapat memberikan kami pendapatan yang halal, di samping kami mahu menjelajahi pengalaman dalam dunia perniagaan, bermula daripada secara kecil-kecilan dahulu,” katanya.

Mengunjungi petak-petak pameran kerjaya berkenaan, Awang Abu Bakar telah mengisikan borang-borang tawaran kerja seperti di Syarikat G4S dan Sugarbun, yang dikatakan mencari ramai pekerja, tidak kurang juga dia turut meninggalkan nombor-nombor telefon di petak-petak syarikat lainnya.

Antara pencari kerja sedang mendapatkan maklumat lanjut jawatan yang ditawarkan syarikat yang mengambil bahagian pada Pameran Kerjaya KBSentral.
Antara pencari kerja sedang mendapatkan maklumat lanjut jawatan yang ditawarkan syarikat yang mengambil bahagian pada Pameran Kerjaya KBSentral.

Pada sebelah petang tadi, turut diadakan ceramah motivasi menampilkan Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dari Kementerian Pendidikan yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Keraja Tah Saja’. Ceramah beliau akan diteruskan esok kira-kira jam 2 petang.

Semasa ditemui, Haji Ali Yusri berkata, seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan akan berada di sana untuk memberi sedikit sebanyak tip mengenai pembelajaran teknik menulis CV dengan betul yang diharapkan akan dapat membantu pencari pekerjaan menghadapkan CV yang lebih rapi dan boleh memberikan peluang tinggi bagi dipanggil temu duga oleh syarikat-syarikat dan seterusnya mendapatkan pekerjaan.

Turut terlibat memberikan taklimat mengenai Perintah Pekerjaan 2009, hari ini, ialah kakitangan dari Jabatan Tenaga Kerja.

Pada pameran itu, Bank Baiduri turut membuat penampilan yang hanya menyertai pameran untuk hari ini dengan menawarkan beberapa kekosongan jawatan.

ARTIKEL YANG SAMA