Peluang menderma di Program Ikhlas 3.0

Peluang menderma di Program Ikhlas 3.0

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam menjemput dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbangkan sedekah dan infaq jariah menerusi Program Ikhlas 3.0 yang dianjurkan sempena Hari Antarabangsa bagi Kesedaran Bencana, pada 16 Oktober ini.

Orang ramai bolehlah menghulurkan bantuan dengan menyumbangkan barangan keperluan asasi makanan dan lain-lain seperti beras, gula, minyak masak, makanan kering, makanan dalam tin, mi segera, air mineral, ubat-ubatan seperti panadol, plaster, pembalut dan kanvas.

Projek Ikhlas 3.0 ini dihasratkan untuk mengumpul sedekah dan bantuan daripada masyarakat umum berupa barang keperluan asasi menerusi Program Bantuan Makanan PBSM untuk diagihkan dalam menangani keperluan bantuan kecemasan dan darurat seperti bencana alam, kebakaran, tanah runtuh dan banjir serta lainnya kepada masyarakat yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang berkeinginan untuk menyampaikan sumbangan, bolehlah menghantarnya pada 16 Oktober ini bermula jam 9 pagi hingga 4 petang di Bilik 8, Tempat Letak Kereta VVIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Untuk mengetahui keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai bolehlah menghubungi Ketua Pegawai Sukarelawan dan Bantuan Kecemasan, Awang Isham bin Ismail di talian 8133814.