Peluang meneruskan pengajian di India

Peluang meneruskan pengajian di India

Oleh Ruzaini Haji Daud

 

NEW DELHI, 28 Feb – Indian School of Business (ISB) menawarkan skim biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang dari negara-negara ASEAN untuk mengikuti Program Pengajian Peringkat Sarjana dalam Pengurusan (PGP).

Ia adalah sejajar dengan langkah yang telah diatur oleh Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA), Kerajaan India untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan khususnya bagi menggalakkan para pelajar dari negara ASEAN yang berpotensi untuk memilih India.

Biasiswa yang ditawarkan itu merangkumi yuran pengajian penuh yang bernilai AS$35,000 (B$49,286) manakala kos perjalanan dan sara hidup di kampus perlu ditanggung oleh para pelajar.

Dekan ISB, Profesor Rajendra Srivastava menjelaskan bahawa ISB amat mengalu-alukan kehadiran para pelajar dari negara-negara ASEAN kerana ia bukan sahaja memberikan peluang pengajian kepada mereka bahkan juga turut mengeratkan hubungan di antara ASEAN dengan India.

Di samping itu, katanya, ISB percaya bahawa dengan mengikuti pengajian di institusi tersebut dapat membantu individu untuk mengembang majukan daya pemikiran pemimpin khususnya dalam bidang ekonomi dari perspektif global melalui pendekatan dan kajian yang dilakukan secara menyeluruh.

Dekan ISB, Profesor Rajendra Srivastava (kanan) ketika menjelaskan mengenai skim biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar ASEAN untuk mengikuti Program Pengajian Peringkat Sarjana dalam Pengurusan (PGP).
Dekan ISB, Profesor Rajendra Srivastava (kanan) ketika menjelaskan mengenai skim biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar ASEAN untuk mengikuti Program Pengajian Peringkat Sarjana dalam Pengurusan (PGP).

“Tambahan lagi Asia memiliki ramai individu yang cukup berpotensi untuk memajukan ekonomi dunia dan setentunya ia merupakan peluang keemasan untuk mengasah kemahiran mereka,” tambah beliau lagi.

ISB komited untuk melatih dan membentuk pelajar dengan menyediakan program yang cukup inovatif, teknik pengajian pengurusan terkini, kelengkapan fakulti yang cemerlang dan kaedah penyelidikan yang menyeluruh bagi mempersiapkan diri seorang pemimpin.

Para calon yang berhasrat untuk mengikuti program PGP hendaklah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak ISB seperti mempunyai Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya dalam mana-mana disiplin atau GMAT dan TOEFL/IELTS serta pengalaman bekerja selama dua tahun.

Setiap calon harus menjalani prosedur pemilihan dan sesi temu duga sebelum diterima untuk mengikuti kursus tersebut.

Indian School of Business (ISB) merupakan sebuah institusi perniagaan yang menawarkan pengajian dalam bidang pengurusan yang bertaraf dunia yang memiliki dua buah kampus iaitu di Hyderabad dan Mohali.

Institusi tersebut juga telah berkembang maju dengan mengecapi beberapa kejayaan seperti program pengajian MBA cemerlang di peringkat global, institusi pertama di Asia Selatan yang menerima akreditasi AACSB dan telah banyak melahirkan ramai individu berjaya bukan sahaja di India bahkan di rantau Asia.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman web www.isb.edu atau hubungi Pegawai Perhubungan Awam ISB, C. Chitti Pantulu di talian +91 40 2318 7439/+91 9819120245 atau e-mel kepada chitti_pantulu@isb.edu /meghana.bangalore@adfactorspr.com.

ARTIKEL YANG SAMA