Peluang merasai aneka makanan dari serata dunia

Peluang merasai aneka makanan dari serata dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB) akan mengadakan Pesta Makanan Antarabangsa pada 15 Mei ini, bertempat di Kelab Rekreasi Diraja Brunei bermula 2:30 petang sehingga 8:30 malam dan terbuka kepada orang ramai.

IWCB dalam kenyataannya hari ini berkata, pesta tersebut bertujuan mempromosikan perkembangan aktiviti-aktiviti amal dan kebudayaan selain meningkatkan persahabatan antara ahli-ahlinya daripada kalangan komuniti tempatan dan ekspatriat.

Pesta makanan antarabangsa itu akan memberikan peluang kepada ahli-ahli tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan dan menjual berbagai-bagai makanan dari negara-negara berbeza kepada orang ramai.

IWCB juga bekerjasama dengan Kelab Rekreasi Diraja Brunei dan The Collective dalam memberikan peluang kepada usahawan makanan tempatan untuk mempamerkan dan menjual makanan ciptaan mereka dan pada masa yang sama menyumbang kepada badan amal sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada komuniti.

Menurut kenyataan itu lagi, semua hasil jualan daripada Pesta Makanan Antarabangsa itu nanti akan digunakan bagi acara amal Sungkai Ramadan IWCB untuk anak-anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara, pada bulan Ramadan nanti.

Orang ramai dijemput hadir dan menyokong acara itu dan menjadikannya satu pengalaman yang menarik dan peluang untuk meneroka dan merasai makanan dari seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA