Peluang pelaburan unit mewah

Peluang pelaburan unit mewah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Syarikat hartanah Pan Villa Properties bakal mengadakan Jerayawara Hartanah selama dua hari pada 19 dan 20 September di dua tempat berasingan dengan menampilkan syarikat pemaju KL Metro Sdn Bhd.

Pada 19 September, jerayawara itu akan diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria bermula jam 12 tengah hari sehingga 6 petang, dan pada keesokan harinya (20 September), ia akan diadakan di Dewan Boomerang, Tingkat 1, Hotel Badi’ah, bermula 11 pagi sehingga 6 petang.

Menurut kenyataan Pan Villa Properties, KL Metro Sdn Bhd merupakan pemaju bagi projek pembangunan hotel dan tempat peranginan Lexis Hibiscus dengan kerjasama ejen pemasaran Pan Villa Properties.

Semasa jerayawara itu nanti, para pelabur akan mempunyai peluang untuk mendapatkan pakej istimewa semasa pameran berkenaan di mana mereka boleh memiliki satu unit hotel mewah pada harga menarik dan 10 malam penginapan secara percuma tanpa sebarang syarat setiap tahun.

Indah...Suasana di sekitar kawasan peranginan Lexis Hibiscus.
Indah…Suasana di sekitar kawasan peranginan Lexis Hibiscus.
Kemudahan kolam renang dalam setiap bilik penginapan.
Kemudahan kolam renang dalam setiap bilik penginapan.

Lexis Hibiscus yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan menyediakan sebanyak 639 unit yang terdiri daripada 522 unit penempatan vila air dan 117 hotel suite yang dilengkapi sepenuhnya dengan kolam renang dan bilik sauna.

Terletak di sepanjang pinggir pantai Pasir Panjang, susunan bangunannya direka mengikut bentuk bunga kebangsaan Malaysia dan dijangka menjadi ikon kedua negara berkenaan.

Lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Melaka, Johor Baharu dan Singapura, menjadikannya menjadi salah satu tempat percutian menarik bagi para pelancong luar mahupun penduduk tempatan.

Lexis Hibiscus merupakan projek ketiga KL Metro Sdn Bhd bagi tahun ini dan sebelum ini, syarikat itu telah berjaya membangunkan Lexis PD pada tahun 2006 dan Grand Lexis PD pada tahun 2009, juga di Port Dickson.

ARTIKEL YANG SAMA