Peluang pelajari kemahiran judo

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kelas Judo Academy Brunei Darussalam membukakan pendaftaran kelas judo kepada orang ramai yang mahu mempelajari seni bela diri unik itu, yang sudah wujud sejak 1882 dengan diasas oleh Kano Jigoro Shihan di Jepun.

Seni bela diri judo semakin popular di seluruh dunia dan setakat ini mempunyai 30 ahli judo aktif di Negara Brunei Darusssalam sejak akademi itu dibuka pada April 2017.

Aktiviti judo ketika ini sedang giat dijalankan di Sekolah Sukan Brunei, dengan dibantu oleh Kerajaan Jepun dan Kodokan Judo Institute.

Menurut Guru Dan Kedua, Saki Kishimoto pemegang tali pinggang hitam di bawah Kodokan Judo Institute, berkata bahawa judo sebelumnya sangat popular di Brunei tetapi ia mula menghilang sejak lebih 20 tahun lalu, akademi ingin menghidupkannya kembali dan memperkembangakan atlet judo Brunei di masa hadapan.

Akademi tersebut kini sudah mempunyai 30 orang ahli yang aktif sejak ia dibuka pada bulan April 2017.

Tujuan Judo diperkenalkan di negara ini bagi mempromosikan falsafah ‘Seiryoku Zenyo’ dan ‘Jita Kyoei’ dengan matlamat menghasilkan masyarakat bertoleransi dan berpeluang untuk mempelajari judo serta mendapatkan kehidupan yang lebih sihat dari segi fizikal dan mental.

“Orang ramai yang menyertai kelas judo akan mempelajari latihan fizikal, kemahiran judo yang berbeza dan teknik cengkaman judo, bahkan juga beberapa bahasa dan budaya Jepun termasuk disiplin, saling menghormati dan menghargai setiap individu,” ujarnya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai kelas Judo Academy Brunei Darussalam dengan menghubungi Ali Rashid Alipah di talian 8954651 atau melalui Instagram Judo.ssbn.