Peluang pemimpin muda ASEAN

Peluang pemimpin muda ASEAN

SINGAPURA, 16 Julai – Pelajar muda cemerlang dan bakal pemimpin masa depan dipelawa memohon Biasiswa Bayaran Tuisyen Untuk Mahasiswa ASEAN daripada Victoria University of Wellington, New Zealand.

Lima biasiswa disediakan tahun ini, yang meliputi bayaran tuisyen bagi tahun pertama pengajian peringkat ijazah bermula 2016 di universiti itu.

Julia Innocente-Jones, Pengarah Victoria International di Victoria University of Wellington, dalam kenyataannya berkata, biasiswa itu disediakan untuk menambah peluang pendidikan bagi pelajar muda ASEAN, yang mempunyai rekod cemerlang dalam bidang akademik dan memiliki potensi menjadi pemimpin.

Katanya, biasiswa itu akan diberi berdasarkan merit kepada pelajar cemerlang yang memenuhi kriteria kelayakan.

Ia termasuk rakyat negara anggota ASEAN, telah mendaftar untuk mengikuti pengajian ijazah tahun pertama di Victoria dan berusia kurang 23 tahun pada 31 Dis 2015. Tarikh tutup permohonan 31 Oktober.

Victoria University of Wellington memiliki rekod cemerlang dalam pengajaran berasaskan penyeldikan.

Ia diberi ranking tertinggi dalam kalangan universiti negara itu oleh kerajaan New Zealand dari segi prestasi penyelidikan staf akademiknya.

Victoria menawarkan pelbagai pengajian melalui tujuh fakulti iaitu Seni Bina dan Reka Bentuk, Perdagangan & Pentadbiran, Pendidikan, Kejuruteraan, Kemanusiaan & Sains Sosial, Undang-undang dan Sains.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.fis.org.nz/BreakOut/vuw/schols.phtml?detail+500727 atau menghubungi dengan e-mel  Pejabat Program Antarabangsa di alamat ip-team@vuw.ac.nz. – Bernama