Peluang perluas perniagaan

Peluang perluas perniagaan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Para pengusaha belia tempatan juga tidak ketinggalan memeriahkan Pesta Pengguna ke-17 dengan menjual pelbagai produk seperti barangan elektronik, pakaian, peralatan rumah, makanan dan minuman serta bermacam-macam lagi.

Wartawab Media Permata, hari ini, telah berpeluang mengunjungi pesta berkenaan yang sedang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bermula 27 hingga 31 Januari ini dan berkesempatan menemui beberapa pengusaha tempatan.

Salah seorang pengusaha yang ditemui, Dayang Nurhidayatul Aqilah binti Haji Gulihana berkata pesta pengguna merupakan peluang baik untuk penuntut yang sedang menunggu keputusan sekolah ataupun tidak mempunyai pekerjaan, bagi mencari pengalaman dengan bekerja sementara dengan syarikat-syarikat dan peniaga-peniaga yang ada di sana daripada tinggal di rumah tidak membuat apa-apa yang berfaedah. Beliau merupakan pemilik Blisful Bites yang menggabungkan tiga pengusaha belia tempatan Nur Naela Kitchen, Irwizatakeaway, dan Irresistibleiscream di mana mereka turut berkongsi petak pameran bersama satu lagi perusahaan iaitu Mummyrawk.

Menurutnya, di pesta itu, mereka memfokuskan menjual kek seperti kek batik, kek vico, kek padang bola, melting cheese cake, dan pelbagai macam lagi.

Pemilik Blisful Bites bersama rakan perniagaannya yang lain.
Pemilik Blisful Bites bersama rakan perniagaannya yang lain.

Mummyrawk turut diusahakan oleh pengusaha muda tempatan iaitu Dayang Zaleha Adi dan Dayang Nur Najihah Adi di mana mereka memfokuskan jualan makanan masakan tempatan Brunei seperti daging masak kari, daging masak rendang, ayam masak kurma dan lain-lain, di samping pelbagai jenis kek.

Dayang Nur Najihah memberitahu beliau kini sudah terbuka minda untuk menceburi bidang perniagaan dan sedang mencuba untuk membangun perniagaan mereka terutama setelah menamatkan kursus usahawan yang beliau ikuti baru-baru ini.

Turut menarik perhatian wartawan Media Permata adalah petak pameran Popoibn Cube yang menyediakan kotak-kotak kiub untuk disewakan kepada para peniaga kecil-kecilan dan dalam talian.

Ia diusahakan oleh Hajah Siti Norsyahdina Sabrina bin Haji Sallehuddin, yang berkata, bagi beliau pesta berkenaan merupakan tempat yang boleh menarik ramai pengunjung.

Menurut sejarahnya, hampir 50,000 orang telah berkunjung setiap kali diadakan.

Oleh itu, kami di sini mengambil kesempatan menyertai Consumer Fair kali ini. Di sini, kami bukan sahaja menyediakan barangan makanan, tetapi juga beg kraf tangan buatan sendiri orang tempatan.

“Kami sebagai pemilik petak jualan yang menyediakan kiub, memberi peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk memperluaskan dan menyebarkan lagi produk mereka kepada pengunjung-pengunjung di sini,” ujarnya.

Turut sempat dikunjungi ialah Elyn’s Kitchen yang dimiliki oleh Dayang Heidi Yaton bersama anaknya Dayang Elyn yang berumur 17 tahun, di mana mereka menjual pelbagai jenis makanan termasukan makanan Indonesia, Malaysia dan Barat di samping makanan tempatan seperti keropok tangang, ubi gentang, cornflakes. Mereka juga menjual hidangan istimewa Elyn’s Kitchen iaitu Durian Crepe.

Ketika sedang ditemui, Dayang Elyn menyatakan bahawa mereka juga mempunyai restoran dan katering iaitu HYS Tindulang Restaurant & Catering.

ARTIKEL YANG SAMA