Peluang perniagaan di KBSentral

Peluang perniagaan di KBSentral

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 27 Mac – KBSentral Property Management membuka perniagaan terbarunya di pusat membeli-belah KBSentral dengan pelancaran awal KBSentral Cube Enterprise yang terletak di tingkat satu, Unit 13B, baru-baru ini, di sini.

Perniagaan tersebut sebagai satu peluang perniagaan yang sangat baik untuk usahawan tempatan yang tidak sabar-sabar bagi merebut peluang untuk mengembangkan asas pelanggan mereka terutamanya bagi usahawan dari Daerah Brunei-Muara atau Daerah Temburong.

Dengan harga sewa yang berpatutan, mana-mana peniaga yang berminat boleh mendapatkan harga sewa diskaun bagi tempoh sewaan tiga bulan, enam bulan atau 12 bulan apabila membayar sewa jangka penuh terlebih dahulu.

Pengurus Am KBSentral, Dayang Abby Lim berkata, dengan kos permulaan yang rendah, para peniaga mempunyai akses kepada pangkalan pelanggan yang besar, terutamanya kepada para pengunjung yang datang ke KBSentral.

Orang ramai yang berkunjung ke KBSentral Cube Enterprise.
Orang ramai yang berkunjung ke KBSentral Cube Enterprise.

Menurutnya lagi, dengan tiada caj pembayaran yuran dan kemudahan sebanyak 120 kiub, beliau percaya KBSentral Cube Enterprise boleh menjadi lokasi keutamaan bagi perniagaan-perniagaan ‘online’ dan dalam masa yang sama juga pihak KBSentral akan membantu untuk mempromosikan iklan peniaga di media massa KBSentral seperti di Facebook.

“Sebelum pelancaran kami sudah menerima banyak maklum balas yang positif daripada orang ramai yang bertanyakan mengenai ketersediaan kiub-kiub kami dan ini menunjukkan penambahan yang baik bagi Pusat Membeli-belah KBSentral di sini,” tambah beliau.