Peluang perniagaan menanti ASEAN

Peluang perniagaan menanti ASEAN

CHANGSHA, (Hunan), 3 Nov (Bernama) – Negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, harus meneroka pelbagai peluang perniagaan dan pelaburan di wilayah Hunan susulan inisiatif ‘One Belt, One Road’ China.

Zhang Wenxiong, Ahli Jawatankuasa Tetap dan Ketua Jabatan Publisiti Jawatankuasa Wilayah Hunan China berkata kerjasama antara Hunan dan ASEAN berpotensi untuk berkembang di bawah strategi ‘One Belt, One Road’.

Hunan kaya dengan sejarah, budaya, sumber dan mempunyai hubungan yang lebih baik ke kawasan perindustrian utama.

Ia menyumbang kepada pembangunan pesat perindustrian baharu, perbandaran, pemodenan pertanian, serta penggunaan teknologi wilayah itu.

Menurut Zhang , Hunan akan terus mempromosikan projek mereka di ASEAN dan ketika ini terdapat dua projek besar antara Hunan dan Malaysia iaitu penyelidikan bersama beras hibrid dan barisan mesin pengeluaran kaca Qi Bin.

Bercakap kepada pemberita ASEAN semasa kunjungan media ke Hunan baru-baru ini, Zhang berkata ASEAN mengiktiraf inisiatif ‘One Belt, One Road’ China untuk memulihkan semula Laluan Sutera Laut purba.

Beliau berkata Hunan memperkenalkan satu pelan tindakan strategik yang menjelaskan enam tindakan iaitu menambah baik perdagangan asing, meningkatkan modal dan teknik asing, menghubungkan prasarana, membina platform perkhidmatan, menggalakkan pertukaran rakyat kepada-rakyat dan mempercepatkan kemajuan Hunan untuk meneroka ke peringkat global.

Zhang berkata Hunan juga mahu meningkatkan industri pelancongannya dengan ASEAN, sambil menambah kawasan pemandangan indah Wuling-yuan di Zhangjiajie menjadi hos kempen promosi tahun ini untuk menarik pelancong ASEAN.

Beliau berkata kempen ini adalah untuk mempelawa agensi pelancongan dari Malaysia, Indonesia dan Thailand kerana pasaran ini merupakan tumpuan utama bagi pembangunan pelancongan Hunan tahun depan.