Peluang pertukaran akademik

Peluang pertukaran akademik

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Persatuan Alumni Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam melalui Seksyen Perhubungan Awamnya, hari ini, telah menjayakan acara UBD Teroka AS dengan tema ‘Meneroka Horizon Baru AS’ yang berlangsung di Pusat Pelajar UBD.

Pegawai dari Kedutaan AS, Ally Carragher semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa majlis berkenaan merupakan wadah pengumpulan maklumat bagi pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke negara itu.

“Saya sangat gembira dengan minat yang ditunjukkan oleh para pelajar dan bekas pelajar dan hari ini merupakan peluang untuk kita mengukuhkan jaringan, bertukar idea dan belajar daripada satu sama lain akan trend serta perubahan akademik di antara Brunei Darussalam dan AS,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, acara berkenaan juga merupakan peluang untuk meneroka peluang-peluang bagi pendidikan lepas ijazah dan pertukaran akademik mahasiswa di AS ekoran pertumbuhan bilangan pelajar yang menunjukkan minat untuk melanjutkan pengajian tinggi di sana.

Ally Carragher ketika menyampaikan ucapannya.
Ally Carragher ketika menyampaikan ucapannya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), yang menurutnya, kini terdapat seramai 40 orang alumni program berkenaan di Brunei dan jumlah berkenaan semakin meningkat.

Acara berkenaan disertai oleh para pelajar dan alumni UBD serta bekas peserta program YSEALI.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, acara berkenaan bertujuan untuk menyediakan platform maklumat mengenai destinasi pengajian tinggi di AS serta mempromosikan program pembangunan kepimpinan dan masyarakat dalam kala-ngan belia yang berusia di antara 18 hingga 35 tahun.

Ia turut memberikan maklumat dan informasi kepada pelajar dan alumni UBD terutamanya bagi Tahun Penemuan melalui sesi perkongsian dan perbincangan yang disampaikan oleh barisan pelajar yang pernah menyertai program YSEALI dan pengajian di AS sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA