Peluang Qatar cerah

Peluang Qatar cerah

DOHA, 12 Okt – Qatar menghidupkan peluang untuk mara ke pentas final Piala Dunia 2018 di Rusia selepas mencatat kemenangan tipis ke atas Syria dalam aksi kelayakan zon Asia, semalam.

Kemenangan 1-0, hasil jaringan penalti Hasan Al-Haydos menamatkan derita tiga kekalahan berturut-turut pada peringkat kumpulan buat tuan rumah 2022 itu, yang sebelum ini tidak pernah melangkah ke Piala Dunia.

Tiga mata yang diraih membenarkan Qatar berganjak dari kedudukan tercorot Kumpulan A, berada di atas China dan empat mata di belakang penghuni tangga ketiga, Korea Selatan selepas empat perlawanan.

Mereka kini enam mata di belakang penghuni tangga kedua Uzbekistan, kedudukan yang menawarkan salah satu slot automatik ke Piala Dunia.

Jurulatih Qatar Jorge Fossati berkata, anak buahnya mungkin boleh meledak lebih daripada satu gol namun keyakinannya masih menebal yang mereka masih mampu ke Russia, dua tahun lagi.

“Kami mempunyai peluang (layak) sebelum ini dan sekarang kami mempunyai peluang yang sangat bagus,” katanya.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk meraih keputusan lebih daripada 1-0 tetapi pada akhirnya apa yang penting adalah pasukan mampu meraih kemenangan pertama.”

Qatar dijadual berkunjung ke China untuk aksi kelayakan seterusnya pada bulan depan.

Sementara itu, jurulatih Syria, Ayman Al Hakeem yang selepas ini dijadual membawa anak buahnya menentang pendahulu kumpulan, Iran berkata: “Secara keseluruhannya, saya percaya keputusan seri mungkin lebih sesuai.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA