Peluang rampas takhta nombor 1

Peluang rampas takhta nombor 1

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Jaguh perseorangan Malaysia, Lee Chong Wei berpeluang untuk merampas kembali status pemain nombor satu dunia andai berjaya merangkul gelaran juara pada Terbuka Indonesia.

Pemain nombor dua dunia itu yang dalam misi memburu gelaran keenam Terbuka Indonesia akan membuka tirai saingan menentang pemain India, Sameer Verma pada aksi pusingan pertama di Stadium Istora Senayan, hari ini.

Dengan pemain nombor satu dunia dari China, Chen Long menarik diri daripada kejohanan, Chong Wei kini berpeluang untuk memintas kedudukan musuh utamanya itu andai menjadi juara.

Pemain nombor satu Malaysia berpeluang untuk merampas kembali takhta nombor satu sukan badminton jika berjaya merangkul kejohanan Terbuka Indonesia. – AFP
Pemain nombor satu Malaysia berpeluang untuk merampas kembali takhta nombor satu sukan badminton jika berjaya merangkul kejohanan Terbuka Indonesia. – AFP

Chong Wei ketika ini mengumpul 88,953 mata, ketinggalan 3,241 mata di belakang Chen Long. Jika berjaya muncul juara di Jakarta kali ini, dia akan meraih 11,000 mata manakala keputusan Chen Long menarik diri bakal menyaksikan dia kehilangan mata.

Penghalang utama dalam misi bergelar juara kali ini dijangka hadir menerusi juara dunia lima kali, Lin Dan dengan kedua-duanya dijangka membuat perhitungan pada aksi final.

Tiga lagi pemain perseorangan Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Zulfadli Zulkifli dan Goh Soon Huat turut beraksi dalam pusingan pertama hari ini.

Iskandar akan menentang pemain Jerman, Marc Zwiebler manakala Zulfadli berdepan tugas sukar apabila diundi bertemu juara dunia lima kali dari China, Lin Dan dan Soon Huat berdepan Ng Ka Long (Hong Kong).

Dalam saingan beregu lelaki, pasangan utama Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong boleh menarik nafas lega apabila mengesahkan slot ke pusingan kedua tanpa perlu bermandi peluh selepas lawan mereka hari ini yang juga pasangan nombor empat dunia, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan menarik diri.

Beregu profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menetapkan sasaran baharu bagi layak ke Kejohanan Dunia tahun depan selepas gagal layak ke Olimpik Rio tahun ini diundi menentang pasangan tuan rumah, Berry Angriawan-Rian Agung Saputro.

Sementara itu, cabaran beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir di pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei 18-21, 17-21, semalam.

Chong Wei sebelum ini menyifatkan Terbuka Indonesia yang menjadi salah satu daripada kejohanan terakhirnya selain Terbuka Australia, minggu depan adalah penting bagi memastikan kekal dalam kelompok dua terbaik dunia menjelang Olimpik Rio, Ogos ini.

Turut membuka tirai saingan hari ini ialah beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menentang pasangan Indonesia, Della Destiara Haris-Rosyita Eka Putri Sari.

“Kami bermain dengan baik hari ini (semalam) tetapi perlu perbaiki dari aspek konsistensi. Bukan mudah untuk menentang beregu China ini, kami sepatutnya lebih banyak bersabar,” kata Liu Ying yang akan beraksi di Terbuka Australia, minggu depan. – BHS