Peluang rasai masakan Nusantara

Peluang rasai masakan Nusantara

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Hotel Antarabangsa Rizqun di Gadong kini sedang menawarkan hidangan makanan Nusantara dalam Promosi Ancient of Malay Archipelago yang berlangsung dari 1 hingga 31 Mac 2016.

Dalam promosi ini, sebanyak 35 jenis menu hidangan utama ditawarkan sepanjang lima hari yang dibahagikan kepada tujuh menu utama pada bufet yang bermula pada pukul 6:30 petang hingga pukul 10 malam pada setiap malam.

Selain itu, Cef Rizal bin Osman dan Cef Amirnorhilmi bin Matnoor juga telah memilih dengan teliti senarai pembuka selera dan sup yang serasi dengan selera hidangan menu utama.

Menurut Cef Amirnorhilmi, antara hidangan menu utama pada promosi Isnin termasuk nasi goreng ikan masin, mi goreng sayur, ayam masak kicap manis, daging rendang, ikan selungsung masak asam dan telur dadar dengan sos cili.

Dalam menu hidangan promosi hari Selasa pula, pengunjung akan dapat menikmati nasi goreng pusu, kuetiau goreng daging, ayam goreng berempah, daging bakar masak lemak cili api, ikan tenggiri sambal bawang dan tauhu dan tempe goreng masak balado.

Cef Amirnorhilmi menunjukkan ‘signature dish’ promosi Jumaat.
Cef Amirnorhilmi menunjukkan ‘signature dish’ promosi Jumaat.

Sementara itu, menu utama promosi hidangan Rabu pula termasuk nasi goreng nanas sama isi lautan, bihun goreng putih sayur, ayam masak sos tiram cendawan hitam, daging masak merah, ikan panggang dengan air asam dan kicap cili dan telur goreng sambal.

Penggemar nasi goreng belutak akan dapat menikmatinya pada promosi Khamis yang turut menghidangkan mi taitong goreng, ayam panggang madu, daging salai masak kicap, ikan kukus kacang taucu dan kentang bakar.

Manakala dalam menu promosi Jumaat pula hidangan yang menanti pengunjung ialah nasi goreng kampung, mi mamak daging, ayam percik, daging masak lada hitam, ikan masak mangga muda dan kentang bakar berkeju.

Selain menu utama, Cef Amirnorhilmi juga menyediakan lima buah gerai yang menyambut pengunjung setiap malam, dengan gerai pertama (cold kitchen) menyediakan rojak buah, gerai kedua (Malay Kitchen) menyediakan hidangan kari laksa dan gerai ketiga (Coffee House) menampilkan hidangan ambuyat dengan pelbagai cacah.

Manakala itu, gerai keempat (ais campur cendol botol) menyediakan beraneka jenis minuman dan gerai kelima (Western Kitchen) pula mengetengahkan ayam panggang perap untuk dimakan bersama sos cendawan dan barbeku.

Cef Amirnorhilmi berkata, keistimewaan Promosi Ancient of Malay Archipelago ialah pada setiap malam promosi, pengunjung akan dapat menikmati keenakan masakan ala Melayu, Cina, India dan Barat, yang semuanya disediakan dalam satu hidangan bufet.

ARTIKEL YANG SAMA