Peluang rebut dua piala sekali gus

Peluang rebut dua piala sekali gus

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Pasukan XN FT akan berdepan Pasukan Al-Idrus dalam kedua-dua perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST 2016 Piala Presiden dan Piala FA 2016 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan, Jabatan Belia dan Sukan pada 3 dan 10 September.

Sehubungan itu, hari ini berlangsung majlis persidangan media bersempena dengan kedua-dua perlawanan akhir yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam merangkap Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kejohanan KBVK DST 2016, Haji Metussin Bagol; Pengarah Kejohanan KBVK DST 2016, Jabar Ithnin; Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Pengurus Pasukan Al-Idrus FC, Awangku Kanzul Shah bin Pengiran Haji Damitahmad.

Menurut ketua Pasukan XN FT, Al-Idrus bukanlah pasukan yang boleh dipandang ringan kerana mampu menggugat mana-mana pasukan jika para pemain leka dan lalai akan peranan masing-masing dalam perlawanan akhir nanti.

“Al-Idrus mempamerkan profesionalisme dan semangat juang tinggi ketika beraksi di dalam kedua-dua kejohanan dan sewajarnya perlu diberikan perhatian kerana jika tersilap pasti mereka akan mengambil peluang menembusi gawang lawan,” ujar Pengiran Isa.

Ketika mengulas mengenai pencapaian dalam Piala FA VFA, kali terakhir XN FT memenangi piala itu adalah pada tahun 2013 apabila pasukan berkenaan menang berganda dengan memenangi piala Presiden.

Kedua-dua wakil pasukan finalis bertemu dalam sesi sidang media.
Kedua-dua wakil pasukan finalis bertemu dalam sesi sidang media.

“Menang kalah sudah menjadi adat perlawanan dan kami gagal menjulang Piala FA pada tahun 2014 dan 2015 atas dasar permainan yang sengit dan cabaran yang sememangnya besar daripada Al-Idrus dan MOD,” tegasnya.

Mengulas pula mengenai rekod tanpa kalah dalam kejohanan kali ini beliau menyifatkan itu sebagai rezeki dan usaha yang ditunjukkan para pemain dan mengingatkan warga XN FT untuk tidak berasa selesa dengan pencapaian itu kerana pada peringkat akhir apa saja boleh berlaku.

Sementara tu, pengurus Pasukan Al-Idrus pula menyifatkan Pasukan XN FT sebagai pasukan yang menjadi pencabar utama dalam kejohanan kali ini kerana pengalaman kalah di peringkat kumpulan beberapa bulan lalu menjadikan pasukannya nekad untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

“XN FT adalah pasukan yang kami hormati kerana memiliki barisan pemain yang mantap dan bertindak cemerlang dalam mana-mana posisi di dalam padang dan pastinya perlawanan akhir ini nanti akan lebih rancak,” ujar Awangku Kanzul Shah.

Beliau menegaskan latihan dan persiapan rapi akan dibuat bagi melalui kedua-dua perlawanan akhir ini nanti dan katanya lagi, “Semua bergantung kepada pencapaian pemain dan bagi saya siapa yang mampu menghidu peluang pasukan itu pasti akan bergelar juara.”

Sementara itu, Pengarah Kejohanan KBVK DST 2016 pula menegaskan perlawanan kali ini adalah ulangan sejarah yang pastinya menjadi coretan baru VFA buat kali kedua apabila sebuah pasukan berpeluang menang dalam kedua-dua kejohanan anjuran VFA. Beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak DST atas tajaan kejohanan serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta agensi lain seperti Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam serta orang perseorangan yang banyak memberikan sokongan dan dokongan kepada kejayaan kejohanan veteran kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA