Peluang rebut pengalaman pendidikan di AS

Peluang rebut pengalaman pendidikan di AS

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Ke arah memberikan maklumat terkini kepada orang ramai mengenai trend dalam pendidikan tinggi di Amerika Syarikat (AS) Pejabat Penasihat Akademik Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, EducationUSA telah mengadakan Sesi Interaktif EducationUSA tahunan mereka bagi guru-guru kerjaya (career teachers) dan kaunselor-kaunselor sekolah, hari ini.

Sesi berkenaan yang telah diadakan di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, di ibu negara itu merangkumi maklumat mengenai kemasukan, biasiswa dan akreditasi, serta tawaran dalam pembangunan profesional bagi kaunselor-kaunselor sekolah yang ditawarkan oleh agensi-agensi pendidikan tinggi AS.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan AS, Catherine Muller, “Sesi Interaktif ini adalah peluang yang baik bagi Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam untuk melibatkan diri dengan guru-guru kerjaya yang kemudiannya akan memaklumkan kepada ibu bapa dan pelajar mengenai universiti-universiti dan trend dalam pendidikan tinggi di Amerika Syarikat.”

Tambahnya lagi, ianya diharap akan dapat membantu membimbing mereka mencapai impian kerjaya mereka melalui proses kemasukan, prosedur, dan ujian yang betul.

Catherine Muller ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Catherine Muller ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

“Acara hari ini adalah penting untuk menjadikan proses yang sukar menjadi lebih jelas dan mudah difahami, kerana ianya berbeza dari negara lain dalam pelbagai aspek. Dan saya rasa, sebaik sahaja proses berkenaan tidak lagi begitu asing, tidak lagi menakutkan, kemudian apabila mereka kembali ke Brunei, mereka akan mengongsikan pengalaman mereka kepada kawan-kawan mereka, yang membuatkan mereka mahu pergi ke Amerika Syarikat juga. Ianya seperti proses yang berterusan (rolling effect),” jelasnya lagi ketika ditemu bual oleh Media Permata.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pra-Universiti dan Kerjaya di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Dayang Ummi Kalsum binti Haji Omar yang juga merupakan penerima biasiswa dan peserta yang pertama bagi International Association of College Admission Counseling (IACAC), telah mengongsikan pengalaman beliau baru-baru ini di Amerika Syarikat ketika menghadiri bengkel tiga minggu dan persidangan bersama IACAC.

Majlis tersebut dihadiri oleh guru-guru kerjaya dan kaunselor-kaunselor di pendidikan tinggi dari pusat tingkatan enam dan sekolah menengah dari sektor kerajaan dan swasta.

ARTIKEL YANG SAMA