Peluang Rory pertahan Terbuka British samar

Peluang Rory pertahan Terbuka British samar

LONDON, 7 Julai (AFP) – Pemain golf nombor satu dunia, Rory McIlroy mungkin terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan Major Terbuka British selepas ligamen di pergelangan kaki kanannya patah, beliau mengumumkan menerusi laman Twitter peribadinya, hari ini.

“Patah di ATFL (ligamen pergelangan kaki) kanan dan kerosakan kapsul sambungan ketika perlawanan bola sepak dengan rakan-rakan pada Sabtu,” kata McIlroy.

“Terus menilai tahap kecederaan dan pelan rawatan hari demi hari. Sesi pemulihan sudah pun bermula… bekerja keras untuk kembali secepat yang saya boleh.”

Selain itu, McIlroy turut meletakkan gambar di laman sosial Instagram yang memaparkannya bersama tongkat dan memakai but pelindung.

Jurucakap bagi McIlroy kemudian berkata sekalipun dilanda kecederaan, dia masih belum bersedia untuk menolak peluang mempertahankan kejuaraan Terbuka British yang dimenanginya tahun lalu di St Andrews.

Rory McIlroy membuat pukulan dari bunker pada lubang ke-18 pusingan pertama Terbuka AS di Chambers Bay 21 Jun lalu. – Reuters
Rory McIlroy membuat pukulan dari bunker pada lubang ke-18 pusingan pertama Terbuka AS di Chambers Bay 21 Jun lalu. – Reuters

Kejohanan Major golf itu bermula pada 16 Julai ini. Sebelum mengalami kecederaan, pemain berusia 26 tahun itu turut dijadual beraksi di Terbuka Scotland namun dibatalkan.

McIlroy menjuarai gelaran pertama Terbuka British di lapangan Hoylake, Julai tahun lalu sebelum menjuarai Kejuaraan PGA.

Pemenang empat gelaran Major itu tidak memberikan sebarang maklumat tambahan berapa lama dia tidak boleh beraksi namun kecederaan yang dialaminya dijangka mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk pulih sepenuhnya sekalipun menjalani pembedahan.

Seandainya terpaksa berehat lebih daripada sebulan, McIlroy turut dijangka terlepas peluang untuk mempertahankan Kejuaraan PGA yang dijadualkan pada 13 Ogos depan di Whistling Straits, Wisconsin, Amerika Syarikat.