Peluang Rusia sertai Olimpik semakin cerah

Peluang Rusia sertai Olimpik semakin cerah

LAUSANNE, 21 Jun (AFP) – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) yang berlangsung di sini hari ini dijangka dapat menghadirkan keceriaan kepada atlet olahraga Rusia yang mengharapkan mereka dapat bertanding di temasya Olimpik Rio.

Minggu lalu, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menggantung atlet olahraga Rusia susulan skandal doping yang didakwa ditaja oleh kerajaan selain masalah rasuah yang melanda badan olahraga Russia.

IOC menyambut baik langkah tegas IAAF berkenaan namun badan olahraga dunia berkenaan masih membuka sedikit ruang untuk atlet yang bersih mengambil bahagian.

“Individu yang boleh membuktikan mereka bersih dan bebas daripada sistem dadah Rusia boleh mengambil bahagian di Olimpik Rio,’’ kata kenyataan IAAF.

Namun, setakat ini belum pasti berapa jumlah sebenar atlet olahraga Rusia yang layak ke Rio berdasarkan kriteria berkenaan dan jika adapun yang layak, mereka akan mewakili negara mana masih mencetus persoalan.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach ketika sidang media berikutan persidangan Olimpik di Lausanne. – AFP
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach ketika sidang media berikutan persidangan Olimpik di Lausanne. – AFP

Namun, persoalan berkenaan akan dihuraikan dalam mesyuarat IOC hari ini yang dihadiri 14 pegawai eksekutifnya.

Satu sidang media akan diadakan sejurus kemudian oleh bos IAAF, Thomas Bach.

Sabtu lalu, Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko berkata, harapan untuk atlet olahraga Rusia bertanding ke Rio sudah musnah apabila digantung oleh IAAF.

Namun dia menyarankan agar hukuman gantung itu sewajarnya dikenakan ke atas individu dan bukannya dalam bentuk kolektif.