Peluang saksikan artis seni grafiti beraksi

Peluang saksikan artis seni grafiti beraksi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Penggemar-penggemar seni grafiti tempatan akan berpeluang untuk melihat artis-artis seni grafiti tempatan serta luar negara yang bakal beraksi pada Pertandingan Seni Grafiti, WRITE THIS, hujung minggu ini.

Pertandingan seni grafiti yang julung-julung kali diadakan itu dianjurkan oleh STAIN akan berlangsung di Skatedium, Taman Budiman, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 16 dan 17 Julai ini, bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang .

Pertandingan tersebut akan mengetengahkan penyertaan artis-artis seni grafiti yang menunjukkan gaya, keaslian, kreativiti dan kemahiran teknikal mereka dalam menghasilkan karya seni mereka.

Seramai 20 orang artis seni grafiti tempatan dan dari negara jiran, Malaysia akan menyertainya. Antara artis tempatan yang bakal beraksi ialah Budi01, Drips, Duke, Dust2, Hazim, Jest2, Mags, Nerdink, Nycer, P-Nuts, Sketch01, Sycktwo, Trank, Twen dan Zaku.

Manakala itu, artis-artis dari negara jiran yang akan turut beraksi adalah termasuk Dean.R, Miyo dan Twentyfifth dari Kuching, Sarawak, Cracko dari Sabah dan Mytho, Kuala Lumpur, Malaysia.

Para peserta dalam pertandingan itu akan dihakimi dari segi gaya, keaslian, kreativiti, pengguna warna, pembentukan huruf dan teknik semburan cat.

Selain itu, para hakim iaitu Clog’02 dari Singapura, Kartun dari Kuala Lumpur, Tag’01 dan Tycal dari Brunei akan mengetengahkan pertunjukan seni grafiti dalam pertandingan selama dua hari itu.

Bagi sebilangan besar peserta terutama peserta muda, pertandingan itu memberikan peluang kepada mereka untuk bertemu dan berinteraksi dengan artis-artis seni grafiti antarabangsa serta memberikan peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam bidang seni berkenaan.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk hadir menyaksikan dan memberikan sokongan kepada para peserta dalam pertandingan berkenaan di mana masuk adalah percuma.

Bukan sahaja mereka berpeluang untuk menyaksikan artis-artis seni grafiti tempatan dan luar negara beraksi dalam pertandingan dua hari itu tetapi mereka juga berpeluang untuk berinteraksi dengan artis-artis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA