Peluang serta YSEALI 2017

Peluang serta YSEALI 2017

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam kini sedang membukakan permohonan kepada belia-belia di negara ini yang berminat untuk menyertai Program Felo Akademik Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) bagi musim bunga 2017 di AS.

Dalam kenyataannya di sini, Kedutaan AS menjelaskan bahawa Program Felo YSEALI merupakan institut akademik yang intensif dan jangka pendek dengan tujuannya untuk memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai AS dan satu topik tertentu kepada pemimpin-pemimpin muda, pada masa yang sama meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka.

Setiap peserta akan memfokuskan ke atas salah satu daripada tiga tema iaitu Penglibatan Masyarakat, Isu-isu Alam Sekitar, dan Keusahawanan Sosial dan Pembangunan Ekonomi. Setiap institut lima minggu akan merangkumi satu siri perbincangan seminar, pembacaan, pembentangan berkumpulan dan kuliah-kuliah.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja kursus dan aktiviti-aktiviti bilik kelas akan dilengkapi dengan lawatan pendidikan, lawatan lapangan, aktiviti-aktiviti kepimpinan, dan peluang-peluang kesukarelawanan dalam komuniti setempat. Institut-institut berkenaan akan termasuk komponen residen akademik kira-kira empat minggu dan lawatan pendidikan domestik kira-kira seminggu. Semasa residen akademik, peserta juga akan berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebudayaan di luar bilik kelas.

Dalam kenyataan itu, Duta Be-sar AS ke Brunei Darussalam, Craig Allen menggambarkan Felo Akademik YSEALI sebagai “pengalaman pembelajaran yang hebat bagi mana-mana belia dari Asia Tenggara untuk membangunkan kemahiran kepimpinan mereka, menjalin hubungan dengan rakan-rakan belia dari rantau ini dan AS, serta untuk mempromosikan perhubungan mesra di antara negara-nagara kita”.

Beliau seterusnya berkata, “Saya telah bertemu alumni YSEALI kami, dan tenaga, semangat dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan Brunei Darussalam dan Asia Tenggara patut dipuji. Saya menjemput semua pelajar dan graduan untuk mendaftar menjadi ahli YSEALI.”

Para pemohon mestilah berusia di antara 18 dan 25 tahun semasa permohonan, pelajar sepenuh masa di kolej, universiti atau institusi pengajian tinggi lain, atau telah menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun, serta mestilah menunjukkan minat, pengetahuan atau pengalaman profesional dalam Penglibatan Masyarakat atau Keusahawanan Sosial dan Pembangunan Ekonomi. Tarikh tutup permohonan adalah pada 10 Oktober 2016.

Maklumat lanjut atau untuk mendapatkan borang permohonan, bolehlah melayari laman sesawang YSEALI kedutaan berkenaan di alamat http://brunei.usembassy.gov/yseali.html. Pemohon juga boleh membuat sebarang pertanyaan dengan menghantar e-mel ke alamat Ahmadi2@state.gov. Untuk mendaftar sebagai ahli YSEALI dan mendapatkan maklumat mengenainya serta peluang-peluang akan datang, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://asean.usmission.gov/yseali/.

ARTIKEL YANG SAMA