Peluang sertai Bengkel Kemanusiaan Belia

Peluang sertai Bengkel Kemanusiaan Belia

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam akan mengadakan Bengkel Kemanusiaan Belia pada musim cuti persekolahan bermula 14 hingga 18 Disember ini di Perkampungan Sukan Asia Tenggara, Berakas.Ia dibukakan kepada belia-belia dan sukarelawan (mana-mana persatuan atau pertubuhan) berumur 16 hingga 25 tahun. Bagaimanapun ia terhad kepada 25 orang peserta lelaki dan 25 peserta perempuan dengan yuran pendaftaran akan dikenakan sebanyak $10.

Menurut PBSM, bengkel tersebut antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan terhadap tujuh prinsip dan pengetahuan bulan sabit merah serta menambah dan membincangkan mengenai empat strategik persatuan berpandukan kepada pengurusan dan persiapan bencana alam, kesedaran kesihatan, dan kerja-kerja yang melibatkan aktiviti-aktiviti kemanusiaan.Di samping itu, ia juga bertujuan bagi menyelaraskan dan bertukar-tukar pendapat dan pandangan sesama ahli-ahli sukarelawan dan peserta yang terdiri daripada peserta-peserta dari Borneo termasuk Labuan, Kota Kinabalu dan Kuching.

Peserta-peserta bengkel selama lima hari itu nanti akan diberikan sijil dan dianugerahkan Lencana Kemanusiaan Remaja Henry Dunant (Henry Dunant Young Humanitarian Badge).

Mereka yang ingin menyertai bengkel berkenaan perlulah menghubungi Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam PBSM Brunei Darussalam, Awang Faizal Gurie di talian 8166927 dan pengarah Kadet Sekolah PBSM Brunei Darussalam di talian 8883787.

ARTIKEL YANG SAMA