Peluang sertai Pertandingan Bento

Peluang sertai Pertandingan Bento

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 9 Sept – Pusat Membeli-belah KB Sentral yang dibuka penghujung tahun lalu, semakin aktif mengadakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjungnya, dan terbaru, pihak pengurusan pusat membeli-belah berkenaan akan menganjurkan Pertandingan Bento pada 12 dan 13 September ini.

Dalam pertandingan itu, yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 8 malam, para peserta berpeluang menunjukkan kemahiran mereka menghias bekal makanan (bento) dengan bahan makanan dibawa sendiri.

Peserta perlu menggunakan kira-kira 80 peratus produk yang boleh dimakan dan 20 peratus produk yang tidak boleh dimakan untuk tujuan hiasan sahaja, bermakna barangan hiasan plastik boleh digunakan. Pengadilan pertandingan berkenaan tidak akan termasuk rasa makanan yang dihias.

Pada 13 September pula , KB Sentral juga akan mengadakan ukiran buah-buahan dan demonstrasi bento oleh cef dari Restoran Sushi Tei pada pukul 2 petang di mana pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara untuk membuat hidangan comel bagi anak-anak mereka. Tiada bayaran masuk untuk menyaksikan demonstrasi berkenaan namun tempat duduk adalah terhad.

Peralatan pembuatan bento dan makanan yang sudah siap dihias.
Peralatan pembuatan bento dan makanan yang sudah siap dihias.

Restoran Sushi Tei juga akan menyediakan gerai sendiri dalam acara berkenaan di mana mereka akan melancarkan promosi terkini bagi set-set bento.

Bagi mereka yang ingin mengambil bahagian, boleh mengisi borang pendaftaran dan melampirkan resit bagi sebarang pembelian dari mana-mana kedai di KB Sentral.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi peserta berumur lapan hingga 17 tahun dan kategori umur 18 tahun ke atas.

ARTIKEL YANG SAMA