Peluang sertai pertandingan suara burung

Peluang sertai pertandingan suara burung

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Persatuan Wasan Batang Perhantian Kuala Lurah dan Persatuan Murai Batu Brunei (WBPKLMBB) akan mengadakan Pertandingan Seni Suara Burung dan Gaya Pertama 2016 pada 7 Februari depan di Taman Mini Perayaan Kampung Parit, Pangkalan Batu.

Menurut penganjur, hanya burung murai batu dan burung kalijiau jantan sahaja yang akan dipertandingkan yang merangkumi spesies burung kalijiau tempatan, burung murai batu kepala hitam (terbuka) dan burung murai batu kepala putih.

Pertandingan bertujuan memberi peluang kepada peminat burung di negara ini untuk sama-sama menyerlahkan bakat yang ada pada burung peliharaan masing-masing dan mengumpulkan peminat burung serta mengeratkan silaturahim di samping bertukar-tukar pengalaman.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan termasuklah piala dan wang tunai serta sijil penyertaan bagi juara, naib juara, tempat ketiga sehinggalah tempat ke-10.

Beberapa kategori turut dipertandingkan iaitu Best of The Best bagi Murai Kepala Hitam dan Murai Batu Kepala Putih (tempat pertama hingga ketiga), sementara Best of The Best bagi Burung Kalijiau adalah daripada tempat pertama sehingga kelima.

Setiap penyertaan dikenakan bayaran $15 dan untuk keterangan lanjut mengenai pertandingan ini bolehlah menghubungi Awang Nawi (8198930), Ardini (8132746), Awang Zai (7271905) dan Awang Dahalan (8230411).

ARTIKEL YANG SAMA