Peluang sertai Program Felo Akademik YSEALI

Peluang sertai Program Felo Akademik YSEALI

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Rakyat Brunei yang berusia antara 18 hingga 25 tahun dipelawa menyertai Program Felo Akademik, Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Musim Luruh 2016 yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS).

Program Felo Akademik YSEALI merupakan program akademik intensif selama lima minggu yang memberikan pendedahan mendalam kepada para pemimpin muda dari seluruh rantau ASEAN mengenai AS sambil meningkatkan kemahiran kepimpinan dan akademik mereka.

Menurut kenyataan Kedutaan AS di sini, program tersebut akan memberikan tumpuan ke atas salah satu daripada tiga tema; Penglibatan Sivik, Isu-isu Alam Sekitar atau Keusahawanan Sosial dan Perkembangan Ekonomi. Aktiviti-aktiviti program akan melibatkan siri perbincangan seminar, pembacaan, pembentangan berkumpulan dan taklimat.

Duta AS ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen berkata, Program Felo Akademik YSEALI merupakan peluang pendidikan yang tidak seharusnya dilepaskan oleh generasi muda di Asia Tenggara yang mahu mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka, untuk mendapatkan pengalaman akademik yang dikhususkan bagi membantu menyokong komuniti mereka, dan mempromosikan hubungan persahabatan di antara negara-negara yang terlibat.

“Saya telah bertemu ramai alumni YSEALI dan telah menyaksikan sendiri bagaimana mereka memberikan sumbangan kepada perkembangan Brunei Darussalam setelah kepulangan mereka. Saya menggalakkan para penuntut dan mahasiswa untuk memohon dan menjadi ahli YSEALI, dan menjadi pemimpin generasi seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilancarkan pada tahun 2013, YSEALI adalah program utama Presiden AS, Barack Obama untuk mengukuhkan perkembangan kepimpinan dan jaringan dalam ASEAN.

Bagi mereka yang berminat mendaftar sebagai ahli YSEALI dan mendapatkan maklumat bagi peluang-peluang pada masa depan, bolehlah melayari laman sesawang http://youngsoutheastasianleaders.state.gov/.

ARTIKEL YANG SAMA