Peluang sertai YSEALI di Cebu

Peluang sertai YSEALI di Cebu

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam kini sedang membukakan permohonan Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) Generation: Go NGO! Workshop and Regional Exchange yang akan diadakan di Cebu, Filipina dari 16 hingga 19 November depan.

Ia merupakan peluang unik bagi pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan kemahiran dan kecekapan profesional mereka dengan matlamat untuk mengembangkan pertubuhan yang mereka asaskan atau sertai ke peringkat lebih tinggi, kata Kedutaan AS dalam kenyataan yang dikeluarkannya, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, bengkel berkenaan akan menghimpunkan individu-individu dari seluruh ASEAN untuk belajar dan bekerjasama mengenai cara-cara untuk membangunkan kapasiti, membuat mesej dan mencapai impak.

Menggabungkan latihan, syarahan, simulasi dan lawatan lapangan ke pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Cebu, bengkel empat hari itu akan menyediakan gambaran komprehensif mengenai apa yang diperlukan untuk membuat perbezaan dalam sektor NGO ASEAN pada tahun 2020an.

Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Craig Allen dipetik sebagai berkata, “Kami telah melihat ramai orang muda di rantau ini diperkasakan dengan mengikuti program-program YSEALI, termasuk Bengkel Generasi YSEALI.

“Saya telah bertemu sebilangan orang muda yang bercita-cita tinggi dan semangat ini, termasuk dari Brunei, dan saya percaya Bengkel GO NGO! akan membangunkan keyakinan mereka dan memberi mereka kemahiran untuk menjalankan NGO yang akan menangani isu-isu penting kepada pembangunan ASEAN,” ujarnya.

Permohonan dibukakan kepada penduduk Brunei berusia 18 hingga 35 tahun dan dibuka sehingga 14 September 2016.

Bagi maklumat lanjut mengenai cara permohonan dan senarai kriteria boleh didapati menerusi laman sesawang http://www.culturalvistas.org/yseali-ngo/.

ARTIKEL YANG SAMA