Peluang Simeone kendali Chelsea tipis

Peluang Simeone kendali Chelsea tipis

LONDON, 11 Feb – Peluang Diego Simeone (gambar) mengendalikan Chelsea terjejas selepas pemilik kelab, Roman Abramovich, meragui corak permainan yang diterapkan pengendali Atletico Madrid itu.

Pengendali Argentina yang memenangi La Liga bersama Atletico pada 2014 selain membawa pasukannya mara ke pentas akhir Liga Juara Juara adalah antara calon yang disenarai bagi menggantikan Jose Mourinho di Stamford Bridge.

Simeone yang menolak tawaran Manchester United ketika pasukan itu memecat David Moyes pada 2014, mendapat pujian ramai kerana berjaya membimbing pasukan yang memberi cabaran kepada dua gergasi La Liga, Real Madrid dan Barcelona.

Namun, corak permainan yang diterapkan Simeone dilihat seakan mirip dengan corak permainan kurang menghiburkan yang ditunjukkan Jose Mourinho ketika mereka merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Buat masa ini, Atletico berada di tangga kedua La Liga dengan tiga mata ketinggalan di belakang pendahulu, Barcelona.

pg20_160212_c

Sebelum ini, pasukan The Blues itu cuba memujuk Pep Guardiola untuk menyertai mereka selepas Abramovich memecat Mourinho Disember lalu, namun Guardiola sudah memilih Manchester City sebagai destinasi seterusnya untuk musim panas nanti.

Ia sekali gus meninggalkan Chelsea dengan beberapa calon lain seperti jurulatih Juventus, Massimilano Allegri dan juga pengendali pasukan kebangsaan Itali, Antonio Conte.

Allegri meraih gelaran Serie A musim lalu selain turut membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona manakala kontrak Conte di Itali bakal tamat selepas Kejohanan Eropah dan dia berhasrat mahu kembali menguruskan pasukan kelab.

Carlo Ancelotti turut mencadangkan Conte kepada lembaga pengarah Chelsea ketika pertemuan rahsia mereka di London, November lalu.

Chelsea juga mengesahkan mereka tidak berminat untuk mendapat khidmat Manuel Pellegrini meskipun pengendali Manchester City yang begitu terdesak untuk terus kekal di England dicanangkan sebagai antara bakal pengurus Chelsea musim depan. – Agensi