Peluang teroka pasaran Perancis

Peluang teroka pasaran Perancis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Peluang perniagaan dan pelaburan bagi pelabur-pelabur dari Negara Brunei Darussalam untuk meneroka pasaran Perancis terbuka luas dengan kerajaan Perancis melaksanakan pelbagai reformasi kepada dasar-dasar ekonomi negara berkenaan, untuk menarik lebih banyak pelaburan dari negara-negara ASEAN termasuk Brunei.

Hubungan kerjasama dan perdagangan dua hala di antara Brunei dan Perancis terus meningkat dari tahun ke tahun tetapi hubungan itu tidak terhad kepada hubungan di peringkat tinggi sahaja tetapi juga merangkumi hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara seperti usahawan yang menerajui dan mengukuhkan lagi rangkaian perdagangan dua hala berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron semasa Sesi Hari Pelabur yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Perancis di Negara Brunei Darussalam, Jalan Kota Batu, hari ini. Sesi taklimat dan perkongsian itu dihadiri oleh usahawan-usahawan tempatan dan ahli perniagaan jemputan di mana mereka diberikan penerangan mengenai peluang-peluang pelaburan yang terdapat di Perancis.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh dua orang penceramah jemputan iaitu Ketua Perkhidmatan Ekonomi dan Kewangan bagi Asia Tenggara, Kedutaan Perancis di Singapura, Antoine Chery dan Penasihat Pelaburan Kanan bagi ASEAN, Kedutaan Perancis di Singapura, Phutachart Chaiwatana. Antoine dalam taklimatnya berkata bahawa Perancis kini melalui pelbagai reformasi kepada dasar ekonomi dan pelaburan dengan hasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara termasuk pelabur dari negara-negara ASEAN untuk memilih Perancis sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

Di antara yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.
Di antara yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.
Puan Yang Terutama Loan Forgeron menyampaikan kata alu-aluannya.
Puan Yang Terutama Loan Forgeron menyampaikan kata alu-aluannya.

Beliau berkata bahawa kerajaan Perancis amat komited untuk melaksanakan reformasi ekonomi bagi memberikan kemudahan kepada pelabur-pelabur di mana reformasi itu menumpukan kepada enam bidang utama, antaranya pasaran pekerjaan, usaha untuk merangsang pembangunan ekonomi dan meningkat daya saing negara. Tambah beliau, hasil daripada reformasi yang dilaksanakan, laporan daripada Kesatuan Eropah meramalkan bahawa jika semua bidang reformasi dapat dijalankan dengan jayanya, kadar pengeluaran kasar dalam negara bagi Perancis dijangka akan meningkat secara keseluruhan kepada 4.5 peratus pada 2020.

Sementara itu, Phutachart Chaiwatana pula berkata bahawa terdapat pelbagai peluang perniagaan bagi pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur di Perancis sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka. Menurutnya bukan sahaja Perancis mempunyai pelbagai insentif yang menarik tetapi ia mempunyai infrastruktur dan tenaga kerja yang produktif dan kreatif. Beliau juga berkata bahawa Perancis menyediakan pelbagai pakej pelaburan yang menarik dan juga melaksanakan reformasi ekonomi bagi menjadikan negara itu lebih kompetitif.

ARTIKEL YANG SAMA